TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Letak jawatan bukan sebab berprinsip, itu tanda protes” – Tok Mat kritik Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

 

JASIN 11 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan bukan berlandaskan prinsip, sebaliknya dilihat sebagai tanda protes terhadap keputusan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP itu seolah-olah mempersoalkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami dan menghormati kuasa pengampunan berkenaan tanpa menjadikannya alasan untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat.

"Meletak jawatan kerana pengampunan diberikan oleh Tuanku Agong itu satu perkara yang kurang elok kerana tindakan sedemikian bukan isu prinsip.

"Bagi saya, kita mempersoalkan kuasa mutlak Tuanku Agong kerana dalam Perlembagaan, pengampunan adalah kuasa mutlak Tuanku Agong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas beramah mesra dan bersarapan bersama masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, di sini, hari ini.

Turut hadir calon BN bagi DUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan tindakan meletakkan jawatan atas alasan prinsip dalam isu pengampunan berkenaan dilihat kurang wajar kerana ia boleh ditafsirkan sebagai bantahan terhadap keputusan yang dibuat melalui kuasa diperuntukkan dalam Perlembagaan.

"Itu termaktub dalam Perlembagaan, jadi jangan kita kata kita letak jawatan kerana Datuk Seri Najib diberikan pengampunan itu tidak baik.

"Bukan masalah prinsip. Masalah prinsip macam-macam ada, tetapi isu pengampunan ini dipersoalkan dan dijadikan alasan untuk meletak jawatan sebagai tanda protes.

"Saya rasa itu kurang molek kerana semua rakyat mesti faham Perlembagaan dan dalam Perlembagaan jelas pengampunan itu kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," katanya.

Semalam, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan perkembangan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Najib.

Keputusan itu diumumkan selepas bekas Perdana Menteri berkenaan tiba di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Loke sebelum ini menjelaskan peletakan jawatannya dibuat selaras dengan pendirian yang telah diumumkan berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

+ - reset