Berita Berita
Restoran 'nazak' kurang pekerja, kerajaan percepat pengambilan 15,000 pekerja asing
KUALA LUMPUR 11 Nov – Kerajaan sedang mempercepatkan proses pengambilan 15,000 pekerja asing tambahan bagi subsektor restoran dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga kerja yang berlarutan sejak sekian lama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kuota tambahan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu susulan komitmen yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung Julai.
Menurutnya, proses permohonan kini dikendalikan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas pengurusan Pusat Sehenti (OSC) bagi pengambilan pekerja asing dipindahkan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Jemaah Menteri bersetuju supaya KESUMA memproses segera perkara ini bersandarkan kepada kuota siling 15,000 yang telah diluluskan serta-merta dan pastinya berdasarkan syarat serta kriteria ditetapkan untuk subsektor restoran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Kali Ke-22, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Presma, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Armizan berkata, kerajaan menyedari kesukaran yang dihadapi pengusaha restoran dalam mendapatkan tenaga kerja, namun keperluan industri itu perlu diseimbangkan dengan usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.
Katanya, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan menyasarkan kadar pekerja asing berbanding jumlah guna tenaga negara dikurangkan kepada 10 peratus menjelang 2030.
“Walaupun peratusan itu dikurangkan kepada 10 peratus, jumlah pekerja asing bukan semestinya berkurangan kerana jumlah guna tenaga negara juga semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Presma dan pihak berkepentingan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Menurutnya, pendekatan itu perlu disokong data serta kajian menyeluruh, termasuk mengenal pasti potensi penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi dalam operasi restoran.
Bagaimanapun, Armizan mengakui peralihan kepada teknologi baharu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pelaburan besar, khususnya bagi pengusaha restoran berskala kecil.
“Restoran secara individu tidak boleh mencapai matlamat itu sendiri kerana ia melibatkan pelaburan yang juga mahal. Sebab itu perlu ada bantuan kerajaan dan kerjasama industri.
“Insya-ALLAH, kita boleh melihat bentuk mekanisasi dan automasi yang dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta dalam jangka panjang mengurangkan tekanan kos penggajian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebergantungan berlebihan terhadap pekerja asing boleh memberi kesan kepada pertumbuhan kadar upah, produktiviti dan pengaliran wang ke luar negara.
Katanya, usaha mengurangkan kebergantungan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dalam jangka panjang.
Berita berkaitan
November 11, 2026, 6:05 pm
Kipas gergasi jatuh ketika solat di KLIA, ibu sakit kepala, anak trauma mahu tidur
November 11, 2026, 5:09 pm
'Letak jawatan bukan sebab berprinsip, itu tanda protes” – Tok Mat kritik Anthony Loke
November 11, 2026, 2:16 pm
Protes pengampunan Najib dikira menderhaka kepada Agong — Zahid
November 11, 2026, 2:07 pm
Rombak Kabinet lebih wajar berbanding bubar Parlimen — Tun Faisal
November 11, 2026, 2:03 pm
Kanak-kanak 9 tahun lemas disambar buaya di Pulau Banggi
November 11, 2026, 1:54 pm
Keluarga tak dibenar tinggal bersama, Rosmah di Pavilion — Nurulhidayah perinci aturan tahanan rumah Najib
November 11, 2026, 1:42 pm
DBKL tambah 200 kamera badan tingkat ketelusan penguatkuasaan
November 11, 2026, 1:33 pm
Belum ada calon pengganti diserah kepada PM, Loke fokus tugas parti
November 11, 2026, 1:12 pm
