TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hasbi rayu Anthony Loke kekal, puji ketegasan dan pencapaian cemerlang di MOT

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 11 Nov. – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah meluahkan harapan agar Anthony Loke dapat mengubah fikiran dan menarik balik keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Hasbi mendedahkan bahawa beliau telah menghubungi Anthony secara peribadi sebaik mengetahui niat Ahli Parlimen Seremban itu untuk melepaskan jawatan bagi merayu agar beliau terus menerajui Kementerian Pengangkutan (MOT) memandangkan masih banyak tugasan penting yang perlu diselesaikan.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan MOT dan sambutan Cahaya Madani di sini hari ini, Hasbi turut memuji ketegasan Anthony dalam mempertahankan prinsip, ketepatan membuat keputusan, serta komitmen terhadap tadbir urus telus yang menjadi teladan kepada seluruh warga kementerian.

Beliau menambah, perbezaan latar belakang politik tidak pernah menjadi halangan untuk mereka bekerjasama erat demi kepentingan rakyat dan negara, sambil merakamkan penghargaan atas sokongan Anthony dalam menjayakan projek pembinaan kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Limbang serta usaha tegas menangani isu kenderaan perdagangan muatan lebih.

Terdahulu, Anthony hadir ke MOT untuk menghadiri majlis berkenaan bagi membuat penampilan terakhir susulan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Langgak Duta untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset