TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kakitangan Zoo Taiping maut motosikal langgar lembu melintas di Jalan Kuala Trong-Trong

By
|
Kongsi
image

TAIPING, 13 Nov. – Seorang Pembantu Khidmat Am Jabatan Zoo Taiping maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar seekor lembu yang melintas di Jalan Kuala Trong-Trong di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Zulkiflie Mohd Ghazali, 36, yang menunggang motosikal jenis MDA Sporter S dipercayai gagal mengelak haiwan ternakan berkenaan yang melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Saravanan Shanmmugam berkata, siasatan awal mendapati lokasi kemalangan berada dalam keadaan gelap tanpa kemudahan lampu jalan, sekali gus mengehadkan jarak penglihatan pengguna laluan terbabit.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Taiping, manakala lembu yang dilanggar turut mati di lokasi.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menerusi hantaran di Facebook menzahirkan rasa dukacita atas insiden tersebut dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik ternakan yang cuai membiarkan haiwan merayau di jalan raya.

Beliau menegaskan bahawa isu haiwan ternakan berkeliaran di kawasan berkenaan bukanlah perkara baharu dan menuntut penguatkuasaan undang-undang yang lebih serius serta menyeluruh bagi mengelakkan tragedi meragut nyawa pengguna jalan raya terus berulang. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset