TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lima rakyat Malaysia ditahan di Thailand, cubaan seludup 240 kg syabu bernilai RM28.9 juta digagalkan

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 16 Nov. – Pihak berkuasa Thailand menggagalkan cubaan menyeludup 240 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM28.9 juta ke negara ini susulan penahanan lima lelaki warga Malaysia dalam siri operasi di Bangkok dan Prachuap Khiri Khan, minggu lalu.

Operasi bersepadu yang dijalankan sepasukan pegawai Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Bangkok bersama Polis Metropolitan Divisyen 7 itu berjaya menumpaskan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan yang turut membawa kepada penahanan dua wanita warga Thailand berusia 24 dan 25 tahun.

Jurucakap keselamatan Thailand memaklumkan bahawa siasatan kes berkenaan bermula selepas penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket di wilayah Nonthaburi pada 30 Oktober lalu.

Menurut beliau, pasukan risikan ONCB berjaya mengesan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah bergerak menuju ke selatan Thailand melalui Jalan Rama 2 sebelum memintas salah satu kenderaan tersebut di sebuah stesen minyak di daerah Sam Roi Yot, manakala sebuah lagi ditahan di daerah Pranburi, Prachuap Khiri Khan pada Khamis lalu.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan terbabit menemukan 240 kg syabu yang dibungkus dalam uncang teh Cina dan disembunyikan di dalam ruang khas yang diubah suai menyerupai sistem audio.

Tangkapan di lokasi tersebut melibatkan tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 28 hingga 40 tahun serta seorang wanita tempatan, sebelum operasi susulan di Bangkok pada Jumaat lalu berjaya memberkas dua lagi lelaki warga Malaysia berusia 40 tahun bersama seorang wanita Thailand.

Siasatan awal mendapati sindiket yang beroperasi dari Malaysia itu menggunakan Thailand sebagai laluan transit untuk membawa bekalan dadah ke wilayah Songkhla sebelum diseludup merentasi sempadan dengan menawarkan bayaran upah antara 500,000 baht (RM60,300) hingga satu juta baht (RM120,600) bagi setiap perjalanan.

Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa sindiket berkenaan bergerak secara sistematik menggunakan aplikasi WeChat dan Telegram bagi tujuan komunikasi, selain mewujudkan dana khas serta melakukan transaksi pembayaran dalam mata wang ringgit bagi membiayai operasi mereka di Thailand. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset