TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kemerosotan sokongan Anwar berpunca daripada nepotisme, kegagalan kukuhkan PKR — Abdul Kadir Jasin

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 16 Nov. – Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin menyifatkan kemerosotan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai luar biasa bagi seorang pemimpin yang telah menanti dan berusaha begitu lama untuk menerajui pentadbiran negara.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berpandangan bahawa keadaan tersebut berpunca daripada amalan nepotisme serta kegagalan Anwar menghargai jasa pejuang asal reformasi sehingga menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpecah-belah, apabila beliau didakwa lebih mengutamakan anaknya sendiri, Nurul Izzah, serta muka baharu seperti Ramanan Ramakrishnan.

Menurut Abdul Kadir, kemerosotan berterusan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), dapat dilihat dengan jelas menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November lalu yang menyaksikan gabungan itu hanya memenangi empat daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kesemuanya disumbangkan oleh DAP.

Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai 21 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, sekali gus membuktikan kegagalan Anwar memperkukuh kepimpinan dan sokongan akar umbi PKR.

Mengulas lanjut dinamika politik semasa, beliau berkata pemulihan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO di Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka berlaku selepas parti itu mula mengkritik DAP serta menjarakkan diri daripada PH, namun ia masih bukan jaminan untuk UMNO menawan semula negeri-negeri di utara dan pantai timur yang kini dikuasai Pas.

Tambah beliau, gambaran kerjasama antara BN dan PN ketika ini turut menarik minat sebahagian pengundi Melayu yang melihatnya sebagai kesepakatan UMNO dan Pas untuk melemahkan PH.

Bagaimanapun, Abdul Kadir berpendapat kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu berisiko kembali goyah sekiranya matlamat menumbangkan PH tercapai, memandangkan Pas sebagai parti terbesar di Parlimen tidak mungkin menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada UMNO yang disifatkannya tidak lagi sekuat dahulu. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset