TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak pernah berhenti berdoa, Achey dan isteri akhirnya bakal timang cahaya mata selepas 15 tahun menanti

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Nov – Penantian 15 tahun pelawak Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya atau Anne untuk mendapatkan zuriat akhirnya disusuli khabar gembira apabila Anne mengumumkan dirinya kini hamil menerusi proses persenyawaan in vitro (IVF).

Anne berkongsi berita itu menerusi hantaran di Instagram, sambil mengimbas perjalanan mereka yang penuh ujian sepanjang menantikan kehadiran cahaya mata.

"Bukan sehari dua kami menunggu. Bukan setahun dua kami berharap. Tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama.

"Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya," tulisnya.

Hantaran berkenaan turut memuatkan video Anne berdoa di hadapan Kaabah pada tahun lalu, selain momen manis bersama suami dan anaknya ketika menerima khabar gembira itu.

"Sehinggalah Allah hadirkan satu berita yang selama ini kami impikan.

"Alhamdulillah... kami bakal menimang cahaya mata. Akhirnya ada nyawa kecil yang sedang membesar dalam rahim ini," tulisnya lagi.

Anne menyifatkan kehamilan itu sebagai rezeki serta hadiah paling berharga daripada Allah yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Hadiah terindah daripada Allah, yang tidak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata.

"Terima kasih Ya Allah, kerana tidak pernah mensia-siakan doa hamba-Mu dan terima pada semua yang banyak memberi semangat pada kami...Syukur Ya Allah," kongsinya.

Terdahulu, Achey memaklumkan isterinya berehat di rumah bagi menjalani rawatan IVF kali kedua yang bermula pada 5 September lalu.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah berkata, keputusan meneruskan rawatan itu dibuat selepas anak mereka, Nur Tiara Zinnirah sering menyuarakan keinginan untuk mempunyai adik.

Pada Disember 2022, Achey dilaporkan memaklumkan Anne menjalani rawatan IVF bagi mendapatkan zuriat, namun usaha berkenaan tidak berjaya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2011 dan mengambil Nur Tiara Zinnirah sebagai anak angkat pada 2018.

+ - reset