TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pantun ‘kena kencing’, Rayer desak Ahmad Maslan letak jawatan kalau ada rasa malu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Nov – Tindakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyampaikan pantun ketika persidangan Dewan Rakyat pada Isnin disifatkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebagai perbuatan yang memalukan dan mengkhianati kerajaan sendiri.

Rayer sekali lagi menggesa Ahmad meletakkan jawatan selepas Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan beliau tidak akan berundur susulan kontroversi berkenaan.

Menurut Rayer, pantun itu menunjukkan sikap tidak menghormati Perdana Menteri yang pernah mengemukakan manifesto berkaitan pemansuhan tol pada Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu.

"Pantun itu secara langsung dan tidak langsung, sama ada secara tersurat mahupun tersirat, merupakan satu sindiran terhadap ahli-ahli Parlimen PH.

"Beliau lupa bahawa Perdana Menteri yang ada pada hari ini diangkat dengan sokongan pimpinan PH.

"Jadi, saya rasa jika masih ada sedikit rasa malu dan maruah, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen.

Sebelum ini, Ahmad menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mencalonkannya untuk mengisi jawatan tersebut.

Beliau turut menyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memintanya meletakkan jawatan.

Kontroversi itu tercetus ketika Ahmad menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

Dalam penggulungan berkenaan, Ahmad berkata, pemansuhan tol merupakan janji Pakatan Harapan (PH), sedangkan BN tidak pernah membuat janji sedemikian.

Beliau kemudian membacakan pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu "kena kencing", ungkapan yang membawa maksud ditipu, sehingga mencetuskan kekecohan.

Dalam pada itu, Rayer mendakwa tindakan Ahmad menggambarkan sikap semakin bongkak dan takbur susulan kemenangan BN dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Seperti dalam permainan bola sepak, beliau membawa bola dan menjaringkan gol ke gawang sendiri. Ia amat memalukan.

"Ini merupakan sikap dan tindakan yang boleh saya katakan sebagai mengkhianati kerajaan sendiri," katanya.

+ - reset