TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bimbang serpihan peluru terkena orang awam punca anggota polis tidak lepaskan tembakan ketika diserang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 17 Nov. – Kebimbangan terhadap risiko serpihan peluru terkena orang awam menjadi antara faktor utama seorang anggota polis tidak melepaskan tembakan walaupun diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy sebenarnya mempunyai hak penuh untuk mempertahankan diri memandangkan situasi tersebut mengancam nyawa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak menggunakan senjata api dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan persekitaran memandangkan tembakan di ruang tertutup berisiko menyebabkan peluru melantun (ricochet) dan mencederakan orang awam.

Selain itu, anggota berusia 26 tahun berkenaan pada awalnya menyangka tindakan mengacukan senjata api sudah memadai untuk menggentarkan suspek, namun lelaki terbabit langsung tidak terkesan dan terus bertindak ganas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid melawat Thierry yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada 11 November lalu, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) ke premis berkenaan bagi memeriksa seorang lelaki yang dilaporkan mengamuk.

Sebaik pintu kediaman dibuka, suspek meluru keluar membawa dua bilah parang lalu menetak mangsa sehingga parah, sebelum suspek akhirnya ditembak polis berhampiran sebuah taman permainan berdekatan selepas sekali lagi cuba menyerang anggota keselamatan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Selayang. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset