TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Yuneswaran jumpa Mufti Besar India, tekankan peranan agama dalam memperkukuh perpaduan

By
|
Kongsi
image

 

KERALA 18 Nov – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, menekankan peranan pemimpin agama dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama susulan kunjungan hormatnya ke atas Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.

Pertemuan di Markazu Saquafathi Sunniyya (Markaz), Kerala, India itu disifatkan Yuneswaran sebagai satu penghormatan dan kesempatan yang amat bermakna.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Sheikh Abubakr Ahmad ialah ilmuwan Islam dan pemimpin agama yang disegani atas sumbangannya dalam bidang pendidikan, kebajikan kemanusiaan dan usaha membasmi kemiskinan, termasuk membela anak yatim dan masyarakat kurang berkemampuan.

Menurutnya, penekanan Sheikh Abubakr Ahmad terhadap kasih sayang, kesederhanaan, keharmonian dan persefahaman antara agama menjadi teladan dalam membina masyarakat yang mampu hidup bersama dalam kepelbagaian.

“Saya percaya bahawa pemimpin agama memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, menyemai nilai-nilai murni serta memperkukuh ikatan perpaduan antara masyarakat yang berbeza agama, kaum dan latar belakang,” katanya.

“Agama seharusnya menjadi sumber kasih sayang, persefahaman dan harapan. Institusi serta pemimpin agama mempunyai tanggungjawab besar untuk memupuk sikap saling menghormati, menolak fahaman ekstremisme dan mendekatkan masyarakat melalui nilai-nilai kemanusiaan sejagat.”

Yuneswaran turut menyatakan kekagumannya terhadap komitmen Sheikh Abubakr Ahmad dalam menjadikan ilmu agama sebagai asas kepada kemajuan sosial dan khidmat kemanusiaan.

Beliau berharap kebijaksanaan, kepimpinan dan sumbangan Mufti Besar India itu terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Katanya, pertemuan itu turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah masyarakat turut dibina melalui nilai kemanusiaan, keprihatinan, kasih sayang dan perpaduan.

+ - reset