Berita Berita
Tangan kanan atlet angkat berat dipotong, Taufiq hadir beri sokongan buat Udin
KUALA LUMPUR 18 NOVEMBER - Di sebalik ujian berat yang terpaksa ditanggung atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini sedikit sebanyak menyuntik semangat buat jaguh muda yang mesra disapa Udin itu.
Taufiq meluangkan masa menziarahi atlet berusia 22 tahun berkenaan yang sedang menerima rawatan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Isnin lalu.
Insiden menyayat hati itu menyebabkan Udin mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa menjalani pembedahan yang menyaksikan tangan kanannya dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Taufiq menitipkan kata-kata semangat kepada atlet berkenaan supaya terus kuat, bersabar dan memberikan tumpuan kepada proses pemulihan.
"Saya minta Udin rehat, tabah dan banyak bersabar. Berat ujian ini, tetapi mesti ada kebaikan di sebaliknya.
"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan sentiasa bersama Udin. Kita semua doakan Udin," katanya.
Dalam perkembangan sama, Taufiq memaklumkan Udin berada dalam keadaan baik dan menunjukkan semangat yang tinggi ketika menerima kunjungan beliau di hospital.
Beliau turut berkesempatan bertemu ibu bapa serta ahli keluarga atlet itu selain menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang tempoh rawatan.
Sementara itu, kerajaan menerusi MSN turut memberi jaminan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan Udin, termasuk rawatan susulan serta penginapan di wad sehingga dibenarkan keluar hospital.
Malah, elaun latihan atlet berkenaan akan diteruskan seperti biasa mengikut kadar kelayakan semasa bagi memastikan kebajikannya terus terpelihara.
Udin juga layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000 selain beberapa faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bantuan berkenaan merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit, Faedah Hilang Upaya Kekal RM915.84 sebulan seumur hidup serta bayaran pukal sebanyak RM39,060.58.
MSN turut akan meneliti bentuk sokongan jangka panjang termasuk aspek pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan bagi membantu Udin meneruskan kehidupan serta perjalanan kerjayanya sebagai atlet.
Untuk rekod, Udin sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas acara angkat berat kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Kecemerlangan itu menyaksikan beliau mencatat jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram sekali gus membuktikan potensinya sebagai antara prospek penting sukan angkat berat negara.
Berita berkaitan
November 18, 2026, 10:06 pm
1,200 sekolah di Zon 9 terima bekalan 100 peratus susu segar menerusi PSS
November 18, 2026, 9:26 pm
Pelajar lelaki Tingkatan Tiga ditemukan maut di SBP Kuala Kangsar
November 18, 2026, 8:36 pm
Pemuda UMNO dakwa kenyataan Tony Pua cubaan halus pertikai keputusan Agong
November 18, 2026, 8:31 pm
Bas persiaran terbabas, lima warga emas parah, 16 cedera
November 18, 2026, 6:00 pm
'Saya memang gemar berpantun' - Ahmad Maslan mohon maaf kepada Anwar isu pantun 'kencing' di Dewan Rakyat
November 18, 2026, 5:37 pm
Pejabat MB lapor polis, nafi Saarani mohon perkenan bubar DUN Perak
November 18, 2026, 11:48 am
Yuneswaran jumpa Mufti Besar India, tekankan peranan agama dalam memperkukuh perpaduan
November 18, 2026, 10:54 am
