TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bas persiaran terbabas, lima warga emas parah, 16 cedera

By
|
Kongsi
image

PAPAR, 18 Nov. – Lima penumpang warga emas mengalami kecederaan parah manakala 16 lagi individu cedera ringan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas ketika menuruni bukit di Jalan Bukit Kimanis-Keningau di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden yang membabitkan seramai 20 penumpang dan seorang pemandu itu pada jam 1.34 tengah hari.

Susulan laporan tersebut, seramai enam anggota dari BBP Kimanis dengan bantuan dua anggota BBP Papar dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bas persiaran yang sedang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Labuan itu dipercayai hilang kawalan sewaktu menuruni laluan berbukit sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.

Lima mangsa yang parah terdiri daripada dua lelaki berusia 64 dan 71 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, dada, bahu serta patah tangan, manakala tiga wanita berusia antara 60 hingga 64 tahun mengalami kecederaan di kepala, dada, serta patah kaki dan jari.

Kesemua mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang selepas kawasan dipastikan selamat. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset