TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Hannah mahu pegawai lain tandatangan' - Minit mesyuarat dedah Agong tetap perkenan tahanan rumah Najib biarpun Hannah Yeoh, Peguam Negara bantah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar membantah pemberian tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dilaporkan Malaysiakini.

Menurut minit itu, Dusuki berpandangan tiada asas undang-undang untuk membenarkan tahanan rumah dan menegaskan Najib perlu menjalani hukuman penjara sepenuhnya.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan keputusan itu membawa kesan besar terhadap kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Hannah menyatakan beliau sependapat dengan Dusuki dan mengulangi pendirian yang pernah disuarakannya mengenai perkara itu. Anggota lembaga lain turut menyuarakan kebimbangan.

Meskipun berdepan bantahan, Yang di-Pertuan Agong ketika itu memutuskan untuk meneruskan pemberian tahanan rumah kepada Najib dengan syarat bayaran RM50 juta dibuat, menurut laporan berkenaan.

Ketika lembaga meneliti draf prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah, Hannah dan Dusuki tidak memberikan pandangan kerana membantah perintah itu.

Menurut minit berkenaan, Agong memutuskan supaya perkataan “isteri” ditukar kepada “isteri-isteri” dalam peruntukan mengenai individu yang dibenarkan tinggal bersama Najib ketika menjalani tahanan rumah.

Baginda turut menggugurkan klausa yang membolehkan Najib menganjurkan atau menyertai acara jika mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Penjara.

Dalam perbincangan mengenai keputusan pengampunan palsu yang tular di media sosial, Hannah mencadangkan supaya individu lain, seperti Ketua Setiausaha Negara, menandatangani keputusan lembaga pada hari berkenaan. Beliau berpandangan perkara itu boleh membawa kesan politik yang besar kepada kerajaan.

Baginda menegaskan Ketua Setiausaha Negara bukan anggota Lembaga Pengampunan dan mengarahkan Hannah menandatangani perintah pengampunan bersyarat itu.

Malaysiakini melaporkan minit berkenaan diperoleh daripada sumber yang mempunyai hubungan rapat dengan perkara itu. Dokumen tersebut difahamkan telah dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah susulan cabaran undang-undang oleh Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah berkenaan.

Setakat semakan Malaysiakini pagi ini, dokumen itu masih belum difailkan di mahkamah. Portal itu turut menghubungi Hannah, Dusuki, Pejabat Perdana Menteri, Majlis Peguam dan peguamnya serta peguam Najib untuk mendapatkan ulasan.

+ - reset