TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya memang gemar berpantun' - Ahmad Maslan mohon maaf kepada Anwar isu pantun 'kencing' di Dewan Rakyat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Nov: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memohon maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantun yang dibacakan ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat, kelmarin.

Dalam surat bertarikh 17 November 2026 yang dicop terima oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini, Ahmad mengakui pemilihan kata dalam pantun itu tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Anggota Pentadbiran kerajaan.

"Saya sememangnya gemar berpantun dalam penyampaian ucapan. Pantun itu tidak terkandung dalam teks penggulungan dan disampaikan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.

"Bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata itu dan perkataan 'kencing' dalam pantun berkenaan yang saya tarik balik di Parlimen," tulisnya dalam surat berkenaan.

Ahmad berkata, beliau tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.

"Sokongan saya terhadap kerajaan dan kepimpinan Datuk Seri (Anwar) kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.

"Sebagai Anggota Pentadbiran, saya akan terus melaksanakan amanah dengan profesional serta menjaga ketertiban bahasa dan semangat kerjasama ketika mewakili kerajaan," katanya.

Terdahulu, dalam sesi penggulungan itu, Ahli Parlimen Pontian berkenaan dilaporkan berkata pemansuhan tol ialah janji Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat janji berkenaan.

Beliau kemudian membaca pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu ‘kena kencing’. Ungkapan itu membawa maksud ditipu.

+ - reset