TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Murid 12 tahun cedera di kepala, badan dilanggar Myvi di hadapan sekolah di JB

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 19 Nov – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun cedera di kepala, tangan dan kaki selepas dilanggar sebuah Perodua Myvi ketika melintas jalan di hadapan sebuah sekolah di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, semalam.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta yang berusia 70 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor, berkata polis mengesan rakaman kejadian berdurasi 11 saat yang tular di Threads. Rakaman itu memaparkan mangsa berlari melintas jalan sebelum dilanggar Myvi berwarna hitam.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pukul 5.30 petang apabila kereta yang dipandu seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun sedang bergerak di lorong paling kiri dari arah bandar raya ini menghala ke Jalan Jagong.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 12 tahun dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan.

“Pemandu kereta terbabit tidak sempat mengelak lalu terlanggar kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurut Azrol Anuar, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 serta boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Hamizan Akmal Affandi, di talian 013-8720640.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Meor berkata menerusi ruangan komen di media sosial bahawa laluan itu mempunyai bonggol dan pemandu perlu lebih peka terhadap kehadiran murid di kawasan berkenaan.

Sumber — MalaysiaGazette

+ - reset