TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM cadang wajibkan kanak-kanak usia enam tahun masuk Tahun Satu mulai 2029

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 24 Nov – Kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu kekal sebagai pilihan ibu bapa pada 2027 dan 2028 sebelum Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mewajibkannya mulai 2029.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata KPM sudah memulakan persediaan tahun ini, termasuk menyesuaikan kurikulum dan latihan guru serta menyediakan prasarana dan bilik darjah yang mencukupi.

"Apabila kita tetapkan wajib pada 2029, bermakna usaha ini akan dilaksanakan dari hari ini, 2026, sampailah 2029.

"Kita tidak mahu inisiatif yang sudah dirancang ini akhirnya terhenti sebelum dilaksanakan sepenuhnya," katanya ketika ditemui pada sesi Taklimat KPM bersama Media di sini hari ini.

Mohd Azam berkata teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) membolehkan bilik darjah tambahan dibina dalam tempoh tiga bulan mengikut keperluan. KPM juga boleh melaksanakan persekolahan dua sesi atau menempatkan murid di sekolah yang mempunyai bilangan murid lebih rendah.

Katanya, kurikulum sudah mengambil kira keperluan pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun, manakala latihan guru turut disesuaikan untuk mengendalikan murid pada usia berkenaan.

"Kita kini menuju kepada negara menua dan tidak boleh lewat dalam membuat persediaan menghadapi perubahan masa depan, termasuk perkembangan teknologi dan perubahan iklim.

"Anak-anak pada usia muda pun sudah mempunyai akses kepada pengetahuan dan maklumat yang luas. Jadi, potensi mereka perlu dimanfaatkan," katanya.

Beliau berkata dasar itu juga bertujuan memberi peluang pendidikan yang sama kepada semua kanak-kanak. Pelaksanaan secara wajib akan memerlukan pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menurutnya, reaksi awal ibu bapa terhadap kemasukan secara pilihan itu bercampur-campur, namun permintaan meningkat dan KPM turut menerima rayuan selepas ibu bapa melihat persediaan yang dilakukan kementerian.

Setiap rayuan akan dinilai berdasarkan ketersediaan bilik darjah dan kapasiti sekolah. KPM juga sudah menyediakan unjuran awal bagi keperluan bilik darjah tambahan, buku teks dan guru sekiranya permohonan meningkat pada 2028.

Setakat 30 September lalu, KPM menerima 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027. Daripada jumlah itu, 73,498 membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun dan 418,151 lagi daripada kumpulan usia tujuh tahun.

+ - reset