Berita Berita
'Tak boleh ke beri bajet lebih kepada JKR, JPS?' - Rizab Selangor RM5.1 bilion, Azmin persoal peruntukan tangani banjir dan tanah runtuh
KUALA LUMPUR 24 Nov – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa kerajaan negeri menambah peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani risiko banjir serta tanah runtuh pada 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu berkata perbelanjaan pembangunan berjumlah RM1.4 bilion perlu mengambil kira perubahan cuaca dan iklim yang semakin memberi kesan kepada hampir semua daerah di Selangor. Katanya, rizab negeri mencecah RM5.1 bilion setakat 11 November lalu.
Beliau menyifatkan peruntukan RM130 juta kepada JKR dan RM100 juta kepada JPS sebagai tidak seimbang berbanding RM161 juta bagi kategori ‘pelbagai’ serta RM151 juta untuk pembangunan wanita, kebajikan dan kesihatan.
“Apakah kita tidak boleh menyediakan peruntukan yang lebih kepada JKR dan JPS apabila kita mencatatkan rizab berjumlah RM5.1 bilion?” soalnya ketika membahaskan peruntukan pembangunan Belanjawan Selangor 2027 di DUN Selangor semalam.
Mohamed Azmin turut mempersoalkan kecukupan peruntukan RM500,000 untuk membaik pulih cerun di seluruh negeri, terutama apabila kawasan seperti Bukit Antarabangsa, Ampang dan Gombak berdepan risiko tanah runtuh.
Bekas Menteri Besar Selangor itu turut mencadangkan kerajaan negeri menggunakan sebahagian rizab untuk mendahulukan pembiayaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Buloh yang dianggarkan menelan kos hampir RM900 juta.
“Kerja-kerja tanah, kerja-kerja awalan mungkin menelan kos RM100 juta, RM200 juta. Kalau negeri boleh mendahulukan dan oleh kerana negeri dan Persekutuan setakat petang ini masih senada, saya percaya kerajaan Persekutuan boleh menimbangkan untuk membayar semula apa yang telah didahulukan oleh kerajaan negeri,” tambahnya.
Beliau turut mencadangkan Pegawai Kewangan Negeri mengadakan perbincangan awal dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pejabat daerah serta JPS bagi menyelaraskan model pembangunan dan urusan pengambilan tanah.
Katanya, langkah itu dapat mengelakkan kelewatan pelaksanaan projek selepas peruntukan Persekutuan diluluskan.
Dalam perbahasan sama, Mohamed Azmin meluahkan rasa kecewa kerana menurutnya, tiada peruntukan pembangunan disediakan untuk daerah Gombak pada 2027.
Beliau meminta kerajaan negeri sekurang-kurangnya mempercepat pembangunan Kompleks Islam Al-Islah.
“Gombak ini satu daerah majoriti orang Melayu dan umat Islam. Hulu Klang populasinya lebih 85 peratus orang Melayu dan umat Islam.
“Takkanlah RM10 pun tak boleh beri kepada Hulu Klang dan Gombak bagi tahun 2027. Rizab besar RM5.1 bilion, sebahagian daripada rizab itu disumbangkan oleh orang Gombak, Yang Berhormat.
“Jadi berilah pertimbangan kepada kami di Gombak sekurang-kurangnya pembangunan Kompleks Islam Al-Islah itu dipercepatkan,” katanya lagi.
Berita berkaitan
November 24, 2026, 4:32 pm
Tahanan rumah Najib: Keputusan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah - AGC
November 24, 2026, 4:18 pm
Hasrat sediakan hidangan hari lahir anak tak kesampaian, ibu maut motosikal terbabas di Kangar
November 24, 2026, 3:51 pm
KPM cadang wajibkan kanak-kanak usia enam tahun masuk Tahun Satu mulai 2029
November 24, 2026, 9:58 am
KKR teliti cadangan lebuh raya bertol baharu atasi kesesakan Lebuhraya Persekutuan – Alexander Nanta
November 24, 2026, 9:51 am
Cubaan bawa lari sembilan PATI Myanmar gagal selepas SUV terbabas di Tanah Merah
November 24, 2026, 9:46 am
Wanita maut dirempuh pemandu Tesla disyaki mabuk, langgar lampu merah di Kulim
November 24, 2026, 9:28 am
Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemukan terbenam dalam lumpur di Nibong Tebal
November 23, 2026, 10:10 pm
