TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat Malaysia kini boleh perbaharui pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 24 Nov. – Rakyat Malaysia kini boleh memperbaharui pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia termasuk mengemukakan permohonan, membuat pembayaran secara dalam talian dan memilih pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan pengambilan dokumen perjalanan berkenaan.

Kementerian Digital dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penambahbaikan menerusi pelancaran kemas kini aplikasi MyGOV Malaysia versi 2.1.4 yang dibangunkan oleh GovTech Malaysia itu membolehkan urusan permohonan dilakukan secara digital dengan lebih mudah dan pantas.

Bagi fasa awal pelaksanaan, kemudahan pengambilan pasport tersebut hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya manakala lokasi pengambilan lain akan diperluaskan secara berperingkat oleh JIM di seluruh negara.

Selain pembaharuan pasport, aplikasi tersebut turut mempertingkatkan fungsi MyNotifikasi bagi membolehkan pengguna menerima pengumuman, maklumat program serta makluman penting daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan secara lebih bersasar dan diperibadikan.

Aplikasi MyGOV Malaysia juga memperkenalkan fungsi semakan lokasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti pusat berhampiran untuk mengakses kemudahan Internet, pemeriksaan kesihatan serta program Tuisyen Rakyat secara percuma.

Sehubungan itu, Kementerian Digital menggalakkan orang ramai mengemas kini aplikasi MyGOV Malaysia kepada versi terkini menerusi Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery selaras dengan usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital kerajaan menuju aspirasi Negara AI 2030. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset