TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengusaha kantin MRSM Tun Ghafar Baba berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti cuai

By
|
Kongsi
image

AYER KEROH, 24 Nov. – Syarikat pengusaha kantin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin berdepan tindakan senarai hitam sekiranya terbukti melakukan kecuaian dalam penyediaan makanan kepada pelajar di institusi pendidikan tersebut.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kerajaan negeri kini sedang menunggu laporan penuh daripada pihak pengurusan MRSM dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Menurutnya ketika ditemui di Seri Negeri hari ini, insiden hidangan ayam yang tidak dimasak sepenuhnya dan tular di media sosial itu amat dikesali kerana melibatkan keselamatan serta kesihatan pelajar, khususnya ketika mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek menegaskan, sekiranya hasil siasatan mengesahkan wujud unsur kecuaian, syarikat terbabit yang difahamkan hanya mempunyai baki tempoh perkhidmatan lebih sebulan sebelum kontraknya tamat boleh disenarai hitam daripada beroperasi di mana-mana peringkat di Melaka sebagai pengajaran kepada pengusaha lain.

Terdahulu, tular dakwaan bahawa pelajar MRSM Tun Ghafar Baba dihidangkan menu ayam masak kicap yang tidak dimasak dengan sempurna ketika sesi makan malam di dewan selera maktab berkenaan.

Aduan tersebut dikemukakan oleh beberapa pelajar serta ibu bapa kepada Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kemudiannya berkongsi perkara itu di media sosial bersama bukti bergambar selain meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian tersebut.

Berdasarkan laporan awal yang dikongsikan Asyraf Wajdi, hidangan ayam masak kicap didapati habis sekitar jam 6.40 petang sehingga menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa menunggu sehingga jam 7.10 malam untuk mendapatkan makanan yang dimasak semula secara tergesa-gesa. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset