Berita Berita
'Benang diguna sangat halus, tak dapat dilihat dengan mata kasar' - Dr Allan Ravi kongsi detik sambung tangan anggota polis ditetak warga asing
KUALA LUMPUR 24 Nov – Selepas tangan kanannya berjaya disambung semula dalam pembedahan selama lapan jam, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy kini berdepan cabaran untuk kembali menggerakkan jari, menggenggam objek dan merasai sentuhan.
Anggota polis berusia 26 tahun itu mungkin mengambil masa lebih setahun untuk belajar menggunakan semula tangannya.
Pasukan pakar bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL) berharap sehingga 80 peratus fungsi tangan berkenaan dapat dipulihkan.
Pakar Bedah Ortopedik serta Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL, Dr Allan Ravi Rajagopal berkata, kejayaan menyambung semula tangan Thierry adalah permulaan kepada proses pemulihan yang panjang.
"Matlamat kami bukan sekadar menyelamatkan anggota badan, tetapi mengembalikan keupayaan pesakit untuk melakukan aktiviti harian, bekerja dan menjalani kehidupan yang lebih berdikari," katanya dalam jawapan bertulis.
Tangan kanan Thierry putus sepenuhnya pada bahagian pergelangan selepas dia diserang seorang lelaki warga asing ketika bertugas di Kepong pada jam 7.30 malam, 11 November lalu.
Dia segera dirujuk ke HKL dan dibawa ke dewan bedah utama selepas menjalani penilaian menyeluruh.
Pembedahan itu diketuai Dr Allan bersama rakan sejawatan dalam bidang sama, Dr Aziz Sabbir Husain.
Di bawah mikroskop, pasukan berkenaan menggunakan peralatan khas dan benang jahitan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar untuk menyambung semula arteri dan vena yang lebarnya hanya beberapa milimeter.
Mereka turut membaiki tendon dan saraf yang rosak serta menstabilkan tulang menggunakan implan.
Menurut Dr Allan, cabaran terbesar ialah memulihkan aliran darah sebelum tisu mengalami kerosakan kekal. Pasukan bedah juga perlu mengekalkan tumpuan sepanjang prosedur yang menguji ketahanan fizikal dan mental mereka.
"Setiap minit, anggota yang terputus tidak menerima aliran darah akan menyumbang kepada kerosakan tisu.
"Sebarang kesilapan atau ketidaktepatan dalam menyambung semula salur darah boleh menjejaskan aliran darah dan menyebabkan prosedur gagal," katanya.
Dr Allan berkata, saraf tumbuh semula pada kadar kira-kira satu milimeter sehari. Oleh itu, pemulihan deria sentuhan dan fungsi otot boleh mengambil masa berbulan-bulan.
"Menerusi fisioterapi dan terapi cara kerja, anggota polis ini akan berusaha secara berperingkat untuk mendapatkan semula pergerakan, kekuatan dan koordinasi tangannya.
"Kami berharap dapat memulihkan antara 70 hingga 80 peratus fungsi keseluruhan tangan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, Thierry masih berisiko mengalami kekakuan sendi, kelemahan otot atau kehilangan sebahagian deria sentuhan walaupun pembedahan berjaya.
"Proses pemulihan memerlukan kesabaran, keazaman dan komitmen daripada pesakit, di samping sokongan berterusan daripada pakar rehabilitasi," katanya.
Dr Allan turut menyifatkan kejayaan pembedahan itu sebagai hasil usaha seluruh pasukan HKL.
"Dalam pembedahan mikro, setiap milimeter amat bermakna. Kepakaran, ketepatan dan kerja berpasukan adalah kunci utama dalam memastikan kejayaan sesuatu prosedur.
"Pencapaian ini bukan milik mana-mana individu, sebaliknya kejayaan seluruh pasukan HKL," katanya.
Berita berkaitan
November 24, 2026, 7:29 pm
Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun
November 24, 2026, 5:58 pm
Sembelih ayam di lorong belakang, buang sisa dalam longkang: DBKL tutup lima premis di Pasar Pudu
November 24, 2026, 5:39 pm
Pengusaha kantin MRSM Tun Ghafar Baba berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti cuai
November 24, 2026, 5:32 pm
Polis rakam keterangan enam individu kes dakwaan gangguan seksual di set penggambaran
November 24, 2026, 5:20 pm
Rakyat Malaysia kini boleh perbaharui pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia
November 24, 2026, 4:32 pm
