Berita Berita
'Jangan jadikan seruan hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan' - Saifuddin puji AKPS ambil tindakan terhadap pegawai sendiri
KUALA LUMPUR 24 Nov - Aduan seorang pegawai wanita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membawa kepada penahanan pegawai atasannya yang disyaki membantu kemasukan seorang wanita warga asing secara tidak sah di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pegawai wanita itu melaporkan insiden pada 17 November lalu menunjukkan budaya takut untuk melaporkan salah laku pegawai atasan dalam kalangan anggota penguat kuasa mula terhakis.
"Bagaimana kita membongkar kes ini? Ia bermula apabila seorang anggota AKPS sendiri membuat aduan.
"Jika kita mengingatkan semua agensi penguat kuasa setiap hari mengenai kesan buruk melindungi amalan yang menyalahi undang-undang, lama-kelamaan seruan itu akan dihayati dan mereka sendiri akan melaporkannya kepada pihak atasan," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE 27) di sini, hari ini.
Semalam, AKPS mengesahkan penjawat awam yang ditahan berhubung kes itu ialah pegawai agensi berkenaan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, pegawai wanita itu mengambil tindakan selepas mengesan tingkah laku mencurigakan membabitkan pegawai atasannya di KLIA.
Saifuddin Nasution berkata, kes itu memperlihatkan bagaimana aduan daripada anggota sendiri boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan.
Menurutnya, apabila menerima aduan itu, pihak berkuasa berdepan pilihan sama ada menyembunyikan perkara berkenaan demi menjaga reputasi agensi atau mengambil tindakan bagi menegakkan undang-undang.
"Kita memilih untuk mengambil tindakan, itu contoh klasik. Saya tidak mahu memperkecilkan kesan peringatan berterusan supaya anggota kita menjaga integriti.
"Kita tidak seharusnya menganggap seruan ini hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri," katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada AKPS kerana membongkar kes itu.
Berita berkaitan
November 24, 2026, 7:29 pm
Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun
November 24, 2026, 5:58 pm
Sembelih ayam di lorong belakang, buang sisa dalam longkang: DBKL tutup lima premis di Pasar Pudu
November 24, 2026, 5:39 pm
Pengusaha kantin MRSM Tun Ghafar Baba berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti cuai
November 24, 2026, 5:32 pm
Polis rakam keterangan enam individu kes dakwaan gangguan seksual di set penggambaran
November 24, 2026, 5:20 pm
Rakyat Malaysia kini boleh perbaharui pasport menerusi aplikasi MyGOV Malaysia
November 24, 2026, 4:32 pm
