TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sembelih ayam di lorong belakang, buang sisa dalam longkang: DBKL tutup lima premis di Pasar Pudu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 24 Nov. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menutup lima buah premis perniagaan serta mengeluarkan empat notis kompaun menerusi Operasi Pemantauan Pusat Penyembelihan Ayam (OPS KEPAK) dan premis pemprosesan daging di sekitar kawasan Pasar Pudu di sini hari ini.

Operasi bersepadu yang bermula seawal jam 2.30 pagi itu turut merangkumi pemeriksaan susulan berhubung isu taugeh yang tular di media sosial baru-baru ini, dengan melibatkan pemeriksaan ke atas 11 premis bagi memastikan pematuhan syarat pelesenan, peraturan perniagaan serta aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati wujud aktiviti pemotongan daging dan penyembelihan ayam hidup secara haram di lorong belakang tanpa lesen, selain penemuan mesin mencabut bulu ayam, peralatan memotong daging, penjualan pelbagai jenis unggas termasuk burung serta pembuangan sisa sembelihan ke dalam longkang.

Susulan penemuan tersebut, DBKL mengeluarkan empat notis kompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan 1979, Undang-Undang Kecil Pelesenan serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tindakan penutupan serta-merta turut dikenakan terhadap lima premis, gerai dan penjaja pasar berkenaan membabitkan dua premis pemotongan karkas khinzir, satu premis penyembelihan ayam, satu gerai penyembelihan ayam hidup serta satu premis pengolahan dan penghasilan bebola ikan.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti perniagaan dan pengendalian makanan yang melanggar peraturan sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran dan kesihatan awam, sambil menegaskan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan agar kawasan awam tidak dijadikan lokasi pemprosesan atau penyembelihan secara tidak sah. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset