TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan perlu lebih pantas, baki setahun perlu diguna untuk percepat reformasi – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan reformasi dan memperkukuh ekonomi dalam baki setahun penggal pentadbirannya supaya rakyat segera merasai hasil pembangunan, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kerajaan perlu bekerja lebih pantas untuk memastikan usaha sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa kesan kepada kehidupan seharian rakyat.

"Sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri ke-10 sudah menyaksikan pelbagai usaha membawa Malaysia ke arah yang lebih baik meskipun berdepan pelbagai cabaran politik, ekonomi dan sosial," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dibuat sempena ulang tahun keempat Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saifuddin berkata, Majlis Setiausaha PH turut mengadakan mesyuarat berkala hari ini sempena ulang tahun berkenaan.

Beliau berkata, empat keutamaan menjadi asas pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh itu.

"Pertama, kestabilan politik iaitu memelihara kestabilan negara dan perpaduan rakyat agar agenda pembangunan dapat diteruskan.

"Kedua, kemakmuran ekonomi bagi memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing negara.

"Ketiga, kebajikan rakyat bagi membantu golongan yang memerlukan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,

"Keempat adalah tatakelola yang baik dalam memerangi rasuah, mengurangkan ketirisan dan memastikan pentadbiran kerajaan yang telus serta bertanggungjawab," katanya.

Saifuddin berkata, PH menghargai pencapaian sepanjang empat tahun lalu dan menyedari masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki serta harapan rakyat yang belum dipenuhi.

"Pada masa yang sama, kita sedar masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan harapan rakyat yang belum dipenuhi.

"Kerajaan mesti terus mendengar teguran, memperbaiki kelemahan dan bekerja dengan lebih berkesan.

"Setahun berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempercepat pelaksanaan reformasi, memperkukuh ekonomi dan memastikan hasil pembangunan benar-benar dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran, serta atas teguran dan kritikan yang membantu kita memperbaiki pentadbiran.

"Amanah ini akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan rendah hati.

"Empat tahun kita membina asas. Dalam setahun berbaki, kita mesti bekerja lebih pantas agar rakyat segera merasai hasilnya. Keutamaan kita tetap rakyat dan masa depan Malaysia," katanya.

+ - reset