TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MyGov Malaysia bakal himpun semua perkhidmatan kerajaan dalam satu aplikasi - Gobind

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Nov -  Lesen memandu, pasport, sijil kelahiran dan sijil nikah antara dokumen peribadi yang sedang dikaji untuk dimuatkan ke MyGov Malaysia, platform yang bakal menghimpunkan semua aplikasi perkhidmatan kerajaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pada fasa pertama, aplikasi berkenaan akan diintegrasikan dengan MyDigital ID sebelum dipindahkan ke MyGov Malaysia.

Langkah itu bertujuan membolehkan pengguna mengakses dan menyelesaikan urusan kerajaan secara digital melalui satu platform.

Katanya, fasa kedua pula akan membabitkan penyepaduan sistem transaksi bagi membolehkan pengguna memperbaharui dokumen peribadi secara digital.

"Saya ada mesyuarat bersama semua pihak berkaitan, termasuk GovTech, MyGov dan MyDigital ID semalam, dan kita melihat kepada kaedah untuk membolehkan akses kepada kad pengenalan secara digital.

"Ketika ini, kita tidak akan melihat kad pengenalan kecuali butirannya, jika cuba diakses secara digital kerana perundangan sedia ada tidak membenarkan dokumen terbabit diberikan secara digital.

"Justeru, kita sedang meneliti untuk meminda perundangan berkenaan, selain mengkaji untuk turut memuatkan lesen, pasport, sijil lahir dan nikah serta dokumen peribadi lain ke MyGov Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.

Pada sidang sama, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan RM1.36 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan kementerian itu selepas dibahaskan 11 Ahli Parlimen.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang meneliti penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu siasatan pihak berkuasa, khususnya bagi kes melibatkan kandungan palsu janaan AI atau deepfake.

Katanya, sebahagian maklumat daripada laporan pengadu boleh diakses secara digital bagi menjimatkan masa dan kos serta memudahkan prosedur siasatan. AI juga boleh menganalisis laporan itu sebelum butirannya disahkan oleh pegawai penyiasat (IO).

"Kebiasaannya apabila laporan dibuat, ia diterima secara fizikal dan ditulis atau ditaip. Kemudian diletakkan dalam fail, diberikan nombor, pegawai penyiasat (IO) dilantik dan akan memanggil pengadu dan saksi untuk merakam keterangan.

"Semua proses ini mengambil masa dan memerlukan kekuatan, tetapi keseluruhan prosedur terbabit akan menjadi lebih mudah selain proses siasatan akan menjadi lebih cepat, jika sebahagiannya diproses secara digital.

"Kerangka digital yang boleh digunakan agensi penyiasatan ini juga akan membantu mengurangkan keperluan menggunakan saiz agensi terlalu besar," katanya.

+ - reset