Berita Berita
‘Saya sendiri galakkan, jangan pertikai pelajar MRSM mengadu terus kepada saya' – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR 24 Nov - Aduan pelajar dan ibu bapa mengenai hidangan ayam yang dikatakan tidak dimasak sempurna di MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka, mendorong Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, meminta pengetua menyiasat dan mengambil tindakan tegas malam ini juga.
Asyraf Wajdi turut meminta masyarakat supaya tidak mempertikaikan tindakan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang memilih untuk mengadu terus kepada kepemimpinan MARA.
Beliau berkata, pendekatan itu sememangnya digalakkan supaya isu kebajikan pelajar dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.
"Usahlah pertikaikan kenapa anak-anak pelajar MRSM atau mana-mana IPMA yang selesa mengadu terus kepada saya.
"Sejujurnya memang saya sendiri galakkan supaya tindakan boleh segera diambil untuk atasi apa jua masalah kebajikan pelajar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, ruang komunikasi secara langsung itu penting bagi memastikan kebajikan dan keselesaan pelajar di institusi berkenaan terpelihara tanpa kekangan birokrasi.
Terdahulu, pengurusan MARA, khususnya Bahagian Pendidikan Menengah, diarahkan mengambil tindakan segera berhubung aduan mengenai penyediaan makanan yang tidak memuaskan di Dewan Selera MRSM Tun Ghafar Baba.
Asyraf Wajdi dilaporkan melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kontraktor yang disifatkannya tidak bertanggungjawab dalam menyediakan makanan di sekolah itu.
"Kasihan anak-anak pelajar yang bukan ramai berkemampuan untuk beli makanan alternatif di kafe atau koperasi, apatah lagi buat pelajar-pelajar Tingkatan Lima yang sedang menduduki peperiksaan SPM.
"Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca Whatsapp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.
"Ada beberapa pelajar dan ibu bapa dari MRSM Tun Ghafar Baba Melaka yang hubungi saya mengadu berkenaan penyediaan makanan di Dewan Selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.
"Apabila saya minta pengurusan semak, rupanya kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan sahaja lagi," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menyifatkan kecenderungan penyedia makanan mengabaikan kualiti hidangan apabila kontrak hampir tamat sebagai satu ‘trend’.
Katanya, beliau baru beberapa minggu lalu melakukan pemeriksaan di MRSM berkenaan dan memberi amaran kepada penyelia Dewan Selera supaya memastikan makanan yang disediakan menepati piawaian ditetapkan MARA.
Berita berkaitan
November 24, 2026, 10:31 pm
MyGov Malaysia bakal himpun semua perkhidmatan kerajaan dalam satu aplikasi - Gobind
November 24, 2026, 9:51 pm
Kerajaan perlu lebih pantas, baki setahun perlu diguna untuk percepat reformasi – Saifuddin
November 24, 2026, 7:29 pm
Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun
November 24, 2026, 5:58 pm
Sembelih ayam di lorong belakang, buang sisa dalam longkang: DBKL tutup lima premis di Pasar Pudu
November 24, 2026, 5:39 pm
Pengusaha kantin MRSM Tun Ghafar Baba berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti cuai
November 24, 2026, 5:32 pm
