TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC saman Google RM300 juta gagal padam video fitnah Papagomo di Youtube

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menuntut ganti rugi RM300 juta daripada Google LLC atas dakwaan syarikat itu cuai kerana gagal memadamkan kandungan didakwa palsu dan berbaur fitnah yang diterbitkan semula di YouTube oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo.

MCMC memfailkan saman terhadap syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Oktober lalu menerusi Tetuan Sitham & Associates. Dokumen saman itu diperoleh media hari ini.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Dalam pernyataan tuntutannya, MCMC berkata pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu dan mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri serta boleh diakses di YouTube.

MCMC kemudian mengeluarkan notis pada 19 Oktober, dengan mendakwa Google gagal melaksanakan kewajipan statutorinya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta mematuhi syarat lesen, sehingga kandungan berkenaan terus disebarkan.

Suruhanjaya itu mendakwa Google gagal mengambil langkah proaktif yang munasabah untuk menilai dan menyiasat secara bebas kandungan yang dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri selepas menerima notis berkenaan.

MCMC turut mendakwa Google gagal bertindak segera untuk mengalih keluar kandungan itu atau menyahdayakan atau mengehadkan akses kepada hantaran dan saluran berkenaan dalam tempoh munasabah selepas dimaklumkan.

Menurut MCMC, Google mengetahui Wan Muhammad Azri terus menyebarkan kandungan yang didakwa memudaratkan di YouTube, namun gagal, enggan atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkannya.

MCMC mendakwa kegagalan dan keengganan Google mematuhi notis itu menyebabkan kandungan berkenaan terus disebarkan semula, sekali gus menjejaskan persepsi terhadap pemimpin negara dan kredibiliti mereka serta menghakis keyakinan awam.

Suruhanjaya itu menyifatkan kandungan berkenaan sebagai palsu, mengelirukan dan tidak berasas, melibatkan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta perkara berkepentingan awam.

MCMC juga mendakwa pihaknya mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan berikutan kegagalan Google memadamkan kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri.

Antara lain, MCMC memohon deklarasi bahawa Google, sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan, mempunyai kewajipan statutori untuk mematuhi arahan suruhanjaya itu bagi mengalih keluar dan menyahdayakan akses kepada kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri.

MCMC turut memohon deklarasi bahawa Google melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadap suruhanjaya itu dan pelanggan di Malaysia dengan membenarkan kandungan dalam talian yang didakwa memudaratkan serta bertentangan dengan undang-undang Malaysia kekal di YouTube, termasuk kandungan yang dipertikaikan dan penerbitan semulanya.

Suruhanjaya itu turut memohon beberapa perintah injunksi, termasuk supaya Google terus menyekat akaun YouTube berkenaan serta mengesan dan memadamkan dalam tempoh 24 jam sebarang kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri. Permohonan itu meliputi kandungan yang dimuat naik menerusi akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga, termasuk dalam siaran langsung di YouTube.

MCMC menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan sebanyak RM100 juta bagi setiap kategori atau apa-apa jumlah lain yang ditaksirkan mahkamah.

Suruhanjaya itu juga memohon faedah atas apa-apa ganti rugi yang diberikan pada kadar dan bagi tempoh yang ditentukan mahkamah, selain kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lanjut yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

+ - reset