TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PKR sah tidak bertanding dalam PRN Sarawak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Nov - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan media Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan prinsip parti serta ketetapan MPN PKR Sarawak untuk mengutamakan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.

Katanya, pendirian itu turut mencerminkan komitmen parti dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya bagi melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PKR Sarawak mahu memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini terus diberikan perhatian.

Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat supaya mematuhi serta menghormati keputusan berkenaan, selain terus menjaga hubungan baik dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.

Bagaimanapun, PKR Sarawak menegaskan keputusan untuk tidak bertanding tidak bermakna parti itu akan mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Sebaliknya, parti itu berikrar untuk terus melaksanakan tanggungjawab serta memberikan khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini.

PKR mula bertapak di Sarawak pada 1999 dan menyertai pilihan raya negeri buat pertama kali pada 2001.

Sejak itu, parti berkenaan telah menyertai lima PRN Sarawak, iaitu pada 2001, 2006, 2011, 2016 dan 2021. Keputusan untuk tidak bertanding pada PRN-13 kali ini merupakan kali pertama PKR tidak menyertai pilihan raya negeri sejak penubuhannya di Sarawak.

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, PKR bertanding di 28 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Parti itu memperoleh 19,865 undi bersamaan 2.66 peratus undi popular. Dalam pilihan raya sama, GPS memenangi 76 kerusi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.

Menjelang PRN-13, PKR pada mulanya terlibat dalam rundingan pembahagian kerusi bersama DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi mengelakkan pertembungan sesama parti.

Pengerusi MPN PKR Sarawak, Mahmud Epah, pada 22 November berkata rundingan berkenaan mengambil kira kesediaan calon, kekuatan jentera parti dan sokongan pengundi setempat.

Bagaimanapun, perkembangan politik pada 24 November menyaksikan PKR Sarawak mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding, dengan menjadikan semangat kerjasama politik bersama GPS dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pertimbangan utama.

Keputusan itu dibuat ketika hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak turut menjadi antara perkara penting menjelang PRN-13, khususnya dalam usaha memperkukuh kerjasama serta melaksanakan tuntutan MA63.

Kini PKR merupakan parti keempat yang mengumumkan pendirian untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak ke-13, selepas Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyatakan tidak akan menyertai persaingan pilihan raya negeri kali ini.

BN sebelum ini mengumumkan keputusan itu atas dasar persefahaman antara UMNO dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), manakala Amanah memilih untuk memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Dengan keputusan terbaharu PKR, DAP kekal parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang mengesahkan penyertaan dalam PRN-13 dengan mengumumkan 12 calon untuk bertanding.

+ - reset