TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

A Samad Said sering kirim surat, karya sastera kepada Anwar ketika di penjara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Nov – Sepanjang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menerima surat dan kiriman karya sastera daripada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said.

Perdana Menteri berkata, kiriman itu antara kenangan daripada persahabatannya dengan Allahyarham yang terjalin sejak 1998. Katanya, Pak Samad sentiasa memastikan beliau menerima karya sastera dan menggunakan surat untuk berkongsi pemikiran dengannya.

Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh besar negara yang gigih memperjuangkan seni dan sastera serta memainkan peranan penting sebagai pendidik bangsa.

"Dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera serta juga pendidik bangsa. Negara tentunya kehilangan seorang tokoh besar Sasterawan Negara," katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, karya Allahyarham mula mendapat perhatian masyarakat sejak 1955 dan sumbangannya dapat dilihat dalam perkembangan sastera tanah air.

Menurutnya, generasi muda boleh mencontohi kesungguhan Allahyarham mempertahankan bahasa dan sastera sebagai sebahagian daripada kehidupan dan pembinaan tamadun bangsa.

"Allahyarham berpegang kepada prinsip bahawa sastera bukan bidang khusus yang hanya perlu dikuasai kelompok tertentu, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada kekuatan sesebuah bangsa.

"Dia gigih mempertahankan kecintaannya terhadap bahasa, sastera dan menganggap bahawa sastera itu mesti dikuasai, tidak seperti setengah anggapan bahawa sastera itu satu bidang yang khusus.

"Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera," katanya.

Mengenang peribadi Pak Samad, Anwar berkata, beliau belum pernah menemui seseorang yang begitu tekun membaca seperti Allahyarham. Ketekunan itu dapat dilihat pada koleksi buku dan catatan yang ditinggalkan di kediamannya.

Katanya, Allahyarham membuat catatan bagi setiap buku yang dibacanya, mencerminkan kesungguhan beliau mendalami ilmu dan meneliti sastera daripada pelbagai sudut.

"Keupayaan serta penguasaan ilmu Allahyarham, khususnya dalam bidang sastera bukan sesuatu yang mudah untuk digantikan, justeru usaha mengangkat martabat tokoh sasterawan negara perlu terus diberi perhatian," katanya.

Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun pada jam 6.10 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua. Beliau turut disahkan menghidap diabetes.

+ - reset