TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JAIPk siasat dakwaan pengurusan masjid enggan terima jenazah bukan ahli khairat kematian – Saarani

By
|
Kongsi
image

IPOH, 25 Nov. – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menyiasat dakwaan terdapat pihak pengurusan masjid di negeri ini yang enggan menerima jenazah untuk diuruskan atas alasan si mati atau waris bukan ahli khairat kematian masjid berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aduan rasmi perlu dikemukakan kepada JAIPk bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan untuk mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.

Beliau yang juga EXCO Agama Islam negeri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (BN-Sungai Manik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Zainol membangkitkan terdapat dakwaan segelintir jawatankuasa masjid enggan membenarkan jenazah diuruskan di premis berkenaan sekiranya keluarga si mati tidak menggunakan kemudahan khairat kematian masjid tersebut.

Menurut Zainol, situasi itu menyukarkan waris yang mendapatkan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi proses memandi dan mengkafankan jenazah namun masih memerlukan kemudahan di masjid untuk menyempurnakan urusan pengebumian.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permohonan pembinaan rumah pengurusan jenazah di masjid berdasarkan keperluan semasa dan kesesuaian tapak.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kemudahan tersebut perlu diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan antara masjid dan surau dalam satu kariah dengan keutamaan diberikan kepada sebuah masjid sahaja dalam kariah berkenaan, ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol). — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset