TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lari daripada acuan seram klise, filem ‘IGAU’ tampilkan kisah mistik hutan Sungai Gabai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 25 Nov. – Filem seram tempatan terbaharu berjudul IGAU terbitan Sonic Global Media Sdn. Bhd. dengan kerjasama Screen Studio Sdn. Bhd. bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 Disember ini.

Karya arahan sulung Raihan Darman itu mengangkat misteri kehilangan manusia di dalam hutan dengan meneroka persoalan antara realiti, mimpi dan alam roh, selain menampilkan barisan pelakon seperti Niezam Zaidi, Adriana Adnan, Fauzi Nawawi, Din Tamam serta Izuan Razali.

Penerbitnya, Zamin Fakry Zainol berkata, idea filem berkenaan tercetus daripada hasrat menghasilkan karya seram yang tidak sekadar bergantung kepada elemen kejutan, sebaliknya mengajak penonton menelusuri naratif misteri berdasarkan idea asal Raizo Almirez mengenai kehilangan seorang wanita di dalam hutan.

Filem tersebut mengisahkan seorang jurugambar, Amar yang pengsan di dalam hutan sebelum diselamatkan oleh seorang wanita bernama Bella, namun kedua-duanya kemudian berdepan pelbagai kejadian misteri yang merungkai sempadan antara dunia nyata dengan alam ghaib.

Menurut Zamin, keistimewaan IGAU terletak pada penceritaannya yang lari daripada acuan filem seram konvensional menerusi gabungan unsur seram, debaran (thriller) dan mistik yang memberi tarikan tersendiri kepada penonton.

Sementara itu, Raihan menjelaskan beliau tertarik untuk mengarahkan naskhah berkenaan kerana kekuatan jalan ceritanya yang tidak klise serta mempunyai kejutan plot dan perjalanan emosi yang mendalam.

Tambahnya, kira-kira 80 peratus sesi penggambaran dijalankan di lokasi hutan sebenar di Hutan Lipur Sungai Gabai, Hulu Langat yang memerlukan perjalanan selama 30 minit untuk masuk ke kawasan tersebut, sekali gus menuntut ketahanan pasukan produksi berdepan cabaran teknikal dan cuaca tidak menentu. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset