TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita rekod 60 peratus mangsa penipuan dalam talian, pelajar ramai terlibat akaun keldai – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 25 Nov. – Golongan wanita merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan mangsa penipuan dalam talian dengan pekerja sektor swasta mencatat jumlah tertinggi, manakala golongan pelajar dikenal pasti ramai terlibat dalam kesalahan membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM7.33 bilion direkodkan antara Januari 2023 hingga Oktober tahun ini, selain menyaksikan 75,266 individu ditahan dan 69,665 pertuduhan difailkan dalam tempoh sama.

Menurutnya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dengan nisbah enam daripada setiap 10 mangsa terdiri daripada wanita berbanding empat lelaki, manakala kebanyakan mangsa merupakan mangsa runcit yang mengalami kerugian sekitar RM5,000 hingga RM15,000.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung usaha kerajaan membanteras kegiatan penipuan dalam talian serta penggunaan akaun keldai.

Saifuddin Nasution memaklumkan sebanyak 254,546 akaun keldai berjaya dikesan sejak Januari 2023 hingga Oktober lalu dengan 137,699 daripadanya telah didakwa di mahkamah, sambil menegaskan sindiket penipuan tidak mampu beroperasi tanpa kewujudan akaun terbabit.

Beliau menjelaskan enam kategori penipuan dalam talian dikenal pasti iaitu penipuan telekomunikasi, jenayah e-kewangan, love scam, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud serta pelaburan tidak wujud.

Penipuan telekomunikasi merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 73,043 kes membabitkan kerugian RM2.132 bilion diikuti penipuan e-dagang (50,749 kes; kerugian RM509 juta), manakala skim pelaburan tidak wujud mencatat kerugian paling besar berjumlah RM3.4 bilion daripada 27,863 kes.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian dengan kerugian RM1.56 bilion direkodkan, melibatkan 20,842 tangkapan dan 18,369 pertuduhan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset