TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Koperal didakwa terima RM3,000 untuk ‘tutup mata’ dalam kes dadah

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 25 Nov – Seorang koperal polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan bersetuju menerima wang berjumlah RM3,000 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dalam kes dadah.

Hazizan Zainuddin, 37, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, Hazizan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tangkak didakwa, dalam kapasiti sebagai penjawat awam, bersetuju menerima wang masing-masing berjumlah RM2,400, RM550 dan RM50 tanpa balasan daripada wanita berusia 47 tahun itu.

Wang berkenaan didakwa dipindahkan daripada akaun bank milik seorang lelaki berusia 38 tahun ke akaun tertuduh.

Hazizan didakwa mengetahui transaksi itu berkaitan dengan tugas rasminya, iaitu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lagi lelaki berusia 44 tahun berhubung kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Labis di Taman Orkid Baru, Labis, Segamat, pada 30 Oktober 2024.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling, manakala Hazizan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Mahkamah membenarkan Hazizan diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat beliau dilarang mengganggu saksi pendakwaan. Hazizan difahamkan sudah membayar wang jaminan itu.

Mahkamah menetapkan 11 Januari 2027 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

+ - reset