Berita Berita
Mahkamah larang 5 pihak termasuk peguam bela keluar kenyataan kes Mohd Shuhaily
SEPANG 25 Nov – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, antara lima pihak yang terikat dengan perintah larangan bersuara berhubung kes beliau didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Perintah Mahkamah Majistret Sepang itu turut meliputi pihak pendakwaan, barisan peguam bela, kedua-dua anggota polis yang menjadi pengadu serta peguam pemerhati mereka, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin daripada Tetuan Kamal Hisham & Associates.
Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan permohonan pihak pembelaan pada sebutan kes membabitkan Mohd Shuhaily, 54, selepas meneliti permohonan, hujahan kedua-dua pihak, afidavit dan ekshibit yang dikemukakan. Mahkamah turut mengambil kira pendirian pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan itu.
Peguam Kitson Foong yang mewakili Mohd Shuhaily berkata, pihak pembelaan memfailkan notis usul di mahkamah berkenaan pada Selasa bagi mengelakkan kenyataan di luar mahkamah yang boleh menjejaskan perbicaraan.
Menurutnya, sekatan yang dipohon meliputi lima perkara, iaitu merit pertuduhan, keterangan perubatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kebolehpercayaan saksi, kelakuan atau sikap orang kena saman (OKS) serta kenyataan yang menggambarkan OKS bersalah atau tidak bersalah.
Kitson berkata, perintah itu hanya terpakai kepada lima pihak yang dinamakan dalam notis usul. Media masih boleh melaporkan prosiding di mahkamah terbuka secara adil dan tepat, manakala pihak terbabit masih boleh berkomunikasi dengan peguam masing-masing.
“Perintah ini mempunyai had masa dan akan luput sebaik sahaja kes selesai dibicarakan.
“Permohonan sekatan ini bukan bermaksud mahu menghalang pihak lawan sahaja daripada membuat kenyataan awam, sebaliknya OKS dan barisan peguam sendiri turut terikat dengan larangan sama,” katanya.
Selain Kitson, barisan pembelaan dianggotai Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Datuk Yaacob Md Sam, Md Yunos Shariff, Badruzzaman Ishak, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Akberdin Abdul Kader.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu kerana mahkamah perlu memastikan perbicaraan berjalan tanpa gangguan.
Beliau menegaskan pihak pendakwaan tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh mempersoalkan atau menjejaskan prosiding. Shahrizat hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di kaunter Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara jam 1.27 hingga 1.35 petang pada 28 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Shahrizat supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama kerana membabitkan OKS dan saksi yang sama. Pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Disember depan.
Berita berkaitan
November 25, 2026, 7:50 pm
'Mangsa sawan, lebam di muka' - Bayi lima bulan tidak sedarkan diri di rumah pengasuh
November 25, 2026, 7:03 pm
RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai esok
November 25, 2026, 4:23 pm
‘Transit di Malaysia sampai bila?’ - Syed Saddiq persoal penempatan pelarian ke negara ketiga
November 25, 2026, 4:17 pm
Jadual waktu solat Selangor ubah mengikut daerah mulai 1 Januari 2027 – Mufti
November 25, 2026, 4:10 pm
Anwar belum terima peletakan jawatan Anthony Loke, minta bercuti terlebih dahulu
November 25, 2026, 3:19 pm
Koperal didakwa terima RM3,000 untuk ‘tutup mata’ dalam kes dadah
November 25, 2026, 2:39 pm
Anwar mahu murid baca sekurang-kurangnya dua buku sepanjang cuti sekolah
November 25, 2026, 2:33 pm
