TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mangsa sawan, lebam di muka' - Bayi lima bulan tidak sedarkan diri di rumah pengasuh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Nov – Polis menyiasat kemungkinan pengabaian terhadap seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang mengalami sawan serta mempunyai kesan lebam dan luka pada muka dan telinga selepas didapati tidak sedarkan diri di rumah pengasuh pada 14 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada jam 5.46 petang hari kejadian.

"Bayi terbabit dibawa ibunya ke Jabatan Kecemasan HCTM selepas didapati tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh.

"Mangsa mengalami sawan selain terdapat kesan lebam serta luka pada bahagian muka dan telinga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 masih diteruskan bagi mengenal pasti apa yang berlaku kepada bayi berkenaan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan hantaran yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset