Berita Berita
Banyak kertas tertunggak, EXCO Negeri Sembilan akan bermesyuarat dua kali seminggu - MB
KUALA PILAH 27 Nov – Mesyuarat EXCO Negeri Sembilan akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali seminggu mulai minggu depan bagi mempercepat keputusan kerajaan negeri dan menyelesaikan kertas tertunggak, yang sebahagian besarnya membabitkan kepentingan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata mesyuarat itu akan diadakan pada setiap Selasa dan Khamis. Beliau mengakui kerajaan negeri perlu mengejar masa untuk menyelesaikan urusan pentadbiran yang tertangguh selepas hampir dua bulan tanpa mesyuarat EXCO.
"Insya-Allah seperti kita maklum, sudah hampir dua bulan tidak ada mesyuarat EXCO. Banyak kertas tertangguh dan sebahagian besarnya membabitkan kepentingan rakyat.
"Jadi, seawal minggu depan saya tetapkan pada Selasa dan Khamis ada mesyuarat EXCO.
"Kita akan buat lebih kerap lagi mesyuarat EXCO supaya dapat selesaikan kertas (fail) yang berlaku atau tertangguh, ini keutamaan kita sekarang," katanya selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai EXCO. Empat daripadanya mewakili Barisan Nasional (BN), iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini, ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, dan ADUN Repah, Koh Kim Swee daripada MCA.
Dua lagi ialah ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad daripada Parti Wawasan, dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria daripada PAS.
Ismail, yang juga ADUN Juasseh, berkata mesyuarat EXCO akan datang turut membincangkan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri 2027.
Beliau berkata, tarikh yang dicadangkan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk mendapat perkenan baginda.
"Kita akan cari tarikh sesuai dan akan dibawa untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz untuk perkenan baginda," katanya.
Mengenai pembahagian portfolio, Ismail berkata ia masih dalam penelitian dan akan dimuktamadkan secepat mungkin, sebelum mesyuarat pertama EXCO pada Selasa depan. Beliau berkata, seorang EXCO mungkin memegang dua atau lebih portfolio, bergantung pada kesesuaian dan kaitan antara bidang tugas.
"Mungkin sehari dua ini, saya akan teliti mengikut kesesuaian dan jika tak berkaitan antara satu sama lain, susah juga EXCO nak bawa (jalankan tugas).
"Jika dua (portfolio) tetapi ada hubung kaitnya, ia jadi mudah sikit. Saya juga mungkin akan menggabungkan beberapa portfolio tertentu," katanya.
Ditanya mengenai ketiadaan ADUN wanita dalam barisan EXCO, Ismail berkata beliau belum meneliti perkara itu dan berpandangan ADUN lelaki boleh menggalas tanggungjawab bagi portfolio terbabit.
Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada Tuanku Muhriz atas perkenan baginda melantik enam EXCO baharu. Beliau yakin kemelut pentadbiran negeri yang berpanjangan sebelum ini sudah berakhir.
"Insya-Allah, ia selesai dan kita boleh fokus kepada pentadbiran kerajaan negeri terutama berkaitan sidang DUN dan Pembentangan Belanjawan Negeri 2027," katanya.
Berita berkaitan
November 27, 2026, 10:46 pm
Seorang lagi pegawai TUDM ditahan dalam kes dadah RM4.83 juta, jumlah tangkapan kini 18 orang
November 27, 2026, 10:29 pm
Terpedaya gaji lumayan, 72 rakyat Malaysia diselamatkan di India, dipaksa jalankan penipuan siber
November 27, 2026, 9:45 pm
Tak pernah berpisah sejak lahir, kembar tiga terima ijazah serentak di USM
November 27, 2026, 9:20 pm
Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia
November 27, 2026, 5:15 pm
186,318 rumah baharu 'tak laku', dianggarkan hampir 40 bulan untuk habiskan stok
November 27, 2026, 3:42 pm
‘Solat adalah ibadah, jangan dibuat content’ – CEO Media Prima Audio mohon maaf, tegur dua DJ Fly FM
November 27, 2026, 3:36 pm
