TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Solat adalah ibadah, jangan dibuat content’ – CEO Media Prima Audio mohon maaf, tegur dua DJ Fly FM

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Nov – Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran, mengambil tanggungjawab atas video tular yang memaparkan dua penyampai Fly FM, Ean Nasrun dan Adam Raqeem, dilihat seolah-olah bersolat untuk pasukan Manchester United yang sedang dilanda krisis.

Nazri berkata, beliau sudah menegur kedua-dua penyampai itu dan mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan unsur agama dalam kandungan. Beliau turut mengakui orang ramai berhak mengkritik mereka berhubung video berkapsyen ‘Praying for Man United’ itu.

“Solat adalah ibadah. Jangan jadikannya bahan kandungan. Kita sepatutnya lebih tahu,” katanya dalam video permohonan maaf bersama Ean dan Adam.

Beliau turut mengingatkan kedua-duanya supaya memberi tumpuan kepada tugas menghiburkan pendengar dengan menjaga sensitiviti agama.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, menggesa pengurusan sebuah stesen radio swasta supaya segera menurunkan kandungan yang mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, beliau turut meminta stesen radio berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam dan memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

Zulkifli berkata, solat ialah tiang agama dan syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya. Beliau menegaskan ibadah itu tidak boleh dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan atau parodi dalam apa jua bentuk penyiaran.

“Dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, semua pengamal media serta pencipta kandungan diingatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti keagamaan dan mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan,” jelasnya.

 

+ - reset