TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

186,318 rumah baharu 'tak laku', dianggarkan hampir 40 bulan untuk habiskan stok

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Nov – Pasaran hartanah Malaysia dianggarkan memerlukan 39 bulan untuk menjual baki 186,318 unit kediaman daripada projek yang dilancarkan sejak 2020, berdasarkan kadar jualan bulanan semasa dan dengan andaian tiada bekalan baharu memasuki pasaran.

Platform data hartanah PropLaunch menganggarkan nilai keseluruhan unit belum terjual itu antara RM105.3 bilion hingga RM230 bilion, dengan sebahagian besar membabitkan projek yang dilancarkan dalam tempoh dua tahun lalu.

“Projek yang dilancarkan pada 2025 menyumbang 78,666 unit tidak terjual, manakala projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026 menyumbang 52,229 unit lagi. Kedua-duanya mewakili 70 peratus daripada keseluruhan inventori tidak terjual,” menurut PropLaunch dalam kenyataan.

Sebanyak 42,619 unit lagi belum terjual daripada 298 projek yang dilancarkan antara Julai hingga Oktober 2026. Secara keseluruhan, projek yang dilancarkan tahun ini menyumbang kira-kira 94,800 unit belum terjual, melebihi jumlah unit belum terjual daripada projek yang dilancarkan antara 2020 hingga 2024.

PropLaunch berkata, peningkatan inventori itu berlaku ketika nisbah kelulusan pinjaman perumahan menunjukkan trend penurunan. Data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan nisbah itu merosot kepada 39.1 peratus pada separuh pertama 2026, paras terendah sejak 2021.

Nisbah berkenaan berada pada kira-kira 41 peratus pada 2025 dan 42 peratus pada 2024. BNM pula mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026.

Nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM231.03 bilion, manakala nilai pinjaman yang diluluskan susut 1.2 peratus kepada RM90.35 bilion.

Dari segi harga, 45 peratus unit belum terjual daripada projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026 membabitkan pembangunan dengan harga permulaan RM500,000 dan ke atas. Menurut PropLaunch, angka itu menunjukkan harga hartanah berkemungkinan menjadi antara faktor yang mempengaruhi permintaan.

Pembangunan berharga di bawah RM300,000 mencatat kadar unit belum terjual terendah, iaitu 48.2 peratus. Kadar tertinggi pula direkodkan bagi pembangunan dengan harga permulaan antara RM750,000 hingga RM999,000, iaitu 67.4 peratus.

Dalam pecahan pelancaran bagi separuh pertama 2026, PropLaunch melaporkan 52,345 daripada 90,431 unit kediaman yang dilancarkan menerusi 480 projek masih belum terjual. Angka itu bersamaan 57.9 peratus, dengan nilai dianggarkan antara RM30.4 bilion hingga RM56.2 bilion.

Selangor merekodkan jumlah unit belum terjual tertinggi bagi projek yang dilancarkan dalam tempoh itu, iaitu 14,980 unit, diikuti Johor dengan 10,593 unit dan Kuala Lumpur dengan 8,885 unit. Ketiga-tiga pasaran itu menyumbang kira-kira dua pertiga daripada jumlah unit belum terjual bagi tempoh berkenaan.

Pulau Pinang pula mencatat kadar unit belum terjual tertinggi dalam kalangan negeri yang aktif melancarkan projek, dengan 75.9 peratus daripada 8,161 unit yang dilancarkan masih belum terjual.

Mengikut jenis pembangunan, projek bertingkat tinggi menyumbang 71 peratus daripada keseluruhan unit belum terjual bagi projek yang dilancarkan sejak 2020.

Bagi separuh pertama 2026, sebanyak 87 pembangunan bertingkat tinggi menyumbang 34,764 unit belum terjual, kira-kira dua pertiga daripada jumlah bagi tempoh itu. Pembangunan bertanah pula mencatat kadar unit belum terjual sebanyak 51.6 peratus.

PropLaunch memaklumkan 4,759 unit daripada pembangunan berkenaan berjaya dijual dalam tempoh sebulan lalu, bersamaan kira-kira 1,110 unit seminggu.

Dalam pada itu, bekalan baharu terus memasuki pasaran. Antara Julai hingga Oktober 2026, pemaju melancarkan 298 pembangunan membabitkan 57,108 unit kediaman di seluruh negara.

 

 

+ - reset