Berita Jenayah
Pesara Komander TLDM berdepan 89 pertuduhan menipu babit tender di KD Sultan Ismail

JOHOR BAHRU 15 Jan - Pesara Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Diraja (KD) Sultan Ismail yang berjumlah lebih RM1.07 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Haizad Ismail, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu selepas dibacakan oleh dua jurubahasa mahkamah selama dua jam 30 minit di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan 89 kertas pertuduhan, bekas penjawat awam itu didakwa menipu Kapten TLDM Shaiful Fadzli Ismail, 50, sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa pelbagai kerja perolehan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, KD Sultan Ismail telah selesai dilaksanakan.
Perbuatan itu didakwa dengan curangnya mendorong Shaiful Fadzli untuk memperakukan pembayaran keseluruhannya berjumlah RM1,070,100 kepada 10 syarikat yang mana beliau tidak akan memperakukan pembayaran itu jika tidak diperdayakan.
Semua perbuatan yang didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Ketua Bahagian Logistik dan Material di KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih itu dibuat di pejabat bahagian itu di Kota Tinggi dekat sini, pada 29 November 2023 dan satu dibuat pada 23 Oktober 2023.
Bagi semua pertuduhan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jumlah jaminan RM180,000 bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh.
Peguam Nur'ain Shahiera Khalid yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang lebih rendah.
"Isteri tertuduh yang juga seorang suri rumah akan menjadi penjamin kepada tertuduh. Tertuduh mempunyai lima orang anak berusia antara tujuh hingga 17 tahun dan semuanya masih bersekolah.
"Tertuduh baharu sahaja bersara pada 2 Januari lalu selepas berkhidmat selama lebih 24 tahun dan kini, satu-satunya sumber pendapatan tertuduh adalah pencen bulanan sebanyak RM4,000, namun perlu menanggung isteri, anak serta ibunya selain bapa tiri yang menghidap asma," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan keseluruhan jumlah RM39,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Berita Harian
Berita berkaitan
May 2, 2025, 4:11 pm
Suspek pecah rumah ditahan, warga emas rugi lebih RM300,000
April 29, 2025, 11:51 am
Kantoi rakam gambar aib remaja dalam pasar raya, 'pak guard' ditahan polis
April 29, 2025, 11:41 am
(VIDEO) Polis buru dua lelaki ragut rantai leher warga emas di Kampung Pandan
April 29, 2025, 11:34 am
Pesara rugi lebih RM100,000 terjerat skim pelaburan dikaitkan suami selebriti bergelar Datuk Seri
April 29, 2025, 9:12 am
Lelaki rebah dipukul sebelum maut ditikam rakan ketika berehat di pondok di Bukit Mertajam
April 28, 2025, 1:17 pm
Mekanik disyaki cabul anak asuhan ibu selama tiga tahun hingga mangsa trauma
April 28, 2025, 11:59 am
Polis tumpas sindiket loteri tanpa lesen, rampas wang tunai RM110,119 di Ipoh
April 27, 2025, 9:43 am
Dua beranak ditemui mati membusuk di Semenyih, disyaki dibunuh
April 26, 2025, 11:51 am