Berita Jenayah
Polis Johor siasat dakwaan anggota trafik minta dan terima wang di Tambak Johor

KUALA LUMPUR 19 Jan - Polis Johor sedang menyiasat gambar tular yang mendakwa anggota polis trafik meminta dan menerima wang di Tambak Johor pada Khamis (16 Jan) lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), ACP Raub Selamat berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang tular di laman Facebook ‘Singaporean’s Guide to JB’. Gambar tersebut memaparkan seorang anggota polis trafik didakwa meminta dan menerima wang secara tidak sah daripada seorang pemandu di Tambak Johor.
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan kejadian berlaku pada 16 Jan antara pukul 5 petang hingga 6 petang di Jalan Tambak Johor, kira-kira 500 meter dari bangunan Sultan Iskandar menghala ke Singapura.
“Ketika kejadian, empat anggota trafik sedang menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas, iaitu potong barisan di jalan tersebut. Sebanyak 69 saman telah dikeluarkan kepada pemandu yang melakukan kesalahan itu.
“Kesemua anggota yang bertugas ketika itu telah dirakam keterangan dan mengesahkan bahawa mereka menjalankan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Raub berkata, anggota terbabit menafikan sebarang bentuk permintaan atau penerimaan wang daripada mana-mana pemandu seperti yang didakwa dalam gambar tular tersebut.
Polis kini menjalankan siasatan menyeluruh untuk memastikan tiada unsur jenayah dan salah laku oleh anggota bertugas.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sedang diteliti, dan usaha mengenal pasti saksi awam serta individu yang merakam gambar itu sedang giat dijalankan,” katanya.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku anggota. Jika terdapat bukti kukuh, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang melanggar undang-undang dan mencemarkan nama baik pasukan.
“Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan tersebut. PDRM juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih yang boleh mencemarkan reputasi PDRM. Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut peruntukan yang sedia ada,” katanya.
Individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut diminta untuk tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah JBS atau menghubungi ASP Nazrul Idham Abdullah di talian 07-2182222. - Bernama
Berita berkaitan
May 2, 2025, 4:11 pm
Suspek pecah rumah ditahan, warga emas rugi lebih RM300,000
April 29, 2025, 11:51 am
Kantoi rakam gambar aib remaja dalam pasar raya, 'pak guard' ditahan polis
April 29, 2025, 11:41 am
(VIDEO) Polis buru dua lelaki ragut rantai leher warga emas di Kampung Pandan
April 29, 2025, 11:34 am
Pesara rugi lebih RM100,000 terjerat skim pelaburan dikaitkan suami selebriti bergelar Datuk Seri
April 29, 2025, 9:12 am
Lelaki rebah dipukul sebelum maut ditikam rakan ketika berehat di pondok di Bukit Mertajam
April 28, 2025, 1:17 pm
Mekanik disyaki cabul anak asuhan ibu selama tiga tahun hingga mangsa trauma
April 28, 2025, 11:59 am
Polis tumpas sindiket loteri tanpa lesen, rampas wang tunai RM110,119 di Ipoh
April 27, 2025, 9:43 am
Dua beranak ditemui mati membusuk di Semenyih, disyaki dibunuh
April 26, 2025, 11:51 am