TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

PGA Batalion 9 tumpaskan penyeludupan kerbau di Pasir Mas

By
|
Kongsi
image

PASIR MAS - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan kerbau selepas menahan dua lelaki di Kampung Repek pada awal pagi Isnin.

Dalam operasi yang dilaksanakan di bawah Op Taring Warisan, dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun ditahan sekitar jam 2.30 pagi. Mereka ditemui bersama 11 ekor kerbau yang dianggarkan seberat lebih 9,000 kilogram, dengan nilai keseluruhan hampir RM242,000. Turut dirampas ialah sebuah lori yang digunakan untuk membawa haiwan tersebut.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid, berkata pihaknya berjaya mengesan lori tersebut ketika rondaan dijalankan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 11 ekor kerbau yang dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram," katanya pada Rabu.

Beliau menambah, kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar yang bertujuan membawa kerbau itu ke pasaran tempatan.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953, dan suspek bersama barangan rampasan telah dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Taman Bakti untuk tindakan lanjut.

Datuk Nik Ros Azhan turut menegaskan komitmen PGA untuk terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan negara. - Media Telus

+ - reset