TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

16 rakyat Malaysia ditahan terlibat sindiket penipuan rentas negara, kerugian mangsa cecah RM4.9 juta

By
|
Kongsi
image

SINGAPURA 24 Jan - Polis menahan 16 rakyat Malaysia dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan rentas negara, menyebabkan kerugian lebih SGD$1.4 juta kepada mangsa di Singapura.

Serbuan dijalankan pada 13 Januari lalu di sebuah kompleks pejabat di Kuala Lumpur.

Menurut laporan The Straits Times Singapura, operasi membongkar sindiket ini adalah hasil kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 43 tahun.

Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan taktik penyamaran sebagai pegawai bank dari institusi kewangan seperti DBS, OCBC, UOB, dan Standard Chartered Bank untuk menghubungi mangsa. Mereka akan mendakwa kad kredit telah dikeluarkan atas nama mangsa atau mendakwa terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun mereka.

Seterusnya, panggilan akan dipindahkan kepada individu lain dalam sindiket yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dari SPF atau Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS). Dalam beberapa kes, penipuan dilakukan melalui panggilan video, dengan penipu berpakaian seragam pegawai serta berlatarbelakangkan logo agensi berkenaan.

Sindiket ini menggunakan aplikasi mesej seperti WhatsApp untuk meneruskan komunikasi dengan mangsa dan menyokong penipuan mereka dengan menunjukkan dokumen palsu seperti kad waran.

Mereka akan menuduh mangsa terlibat dalam aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram serta mengarahkan mereka memindahkan wang ke akaun bank yang kononnya ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.

Pihak berkuasa percaya sindiket ini telah terlibat dalam lebih 50 kes penipuan yang menggunakan modus operandi serupa. Kesemua 16 individu yang ditahan telah didakwa di mahkamah Malaysia atas pertuduhan konspirasi jenayah untuk melakukan penipuan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura, David Chew, menyatakan penghargaan atas kerjasama erat dengan PDRM dan menegaskan komitmen kedua-dua pihak dalam membanteras sindiket penipuan rentas negara.

Menurut statistik, jumlah kerugian akibat penipuan di Singapura mencatatkan rekod tertinggi dalam separuh pertama 2024, dengan lebih SGD$385.6 juta kerugian daripada 26,587 kes yang dilaporkan. Angka bagi separuh kedua tahun ini masih belum dikeluarkan. - AGENSI

+ - reset