TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Berbaki 2 hari, PGIRM desak benarkan pemindahan akaun 1 KWSP

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 9 Mei - Berbaki dua hari lagi penstruktukan semula akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) tetap melihat peluang itu tidak memberi manfaat kepada pencarum yang terkesan.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, pemindahan akaun 2 KWSP ke akaun fleksibel hanya akan memberi manfaat kepada pencarum yang mempunyai jumlah baki yang tinggi dan mencarum setiap bulan tanpa gagal.

"Saya merayu dan mendesak diberikan kelonggaran supaya pencarum yang tiada lagi baki dalam akaun 2 untuk mengeluarkan separuh da 2/3 daripada akaun 1.

"Golongan ini kebanyakannya dibuang kerja dan tidak mempunyai potongan KWSP yang stabil kerana tiada pekerjaan atau hanya berniaga kecil-kecilan.

"Mereka yang sebenarnya memerlukan pengeluaran untuk menyelesaikan masalah hutang, tunggakan dan macam-macam lagi," katanya.

Azmi turut mempersoalkan relevan menahan duit pencarum yang tidak mempunyai baki kurang dalam akaun 2 atau tiada langsung.

Jelasnya, kebanyakan mereka ni mempunyai jumlah ratusan dan puluhan ribu dalam akaun 1, tetapi tidak dibenarkan buat pengeluaran.

"Saya menyuarakan Hasrat pencarum yang terkesan supaya diberi kelonggaran untuk mengeluarkan baki akaun 1 mengikut formula 15:30 ke akaun fleksibel. Biar mereka selesaikan semua masalah," katanya.

Tambah Azmi, apa yang dilakukan kerajaan ekarang hanya memberi manfaat kepada pencarum yang tidak terkesan kerana mempunyai jumlah simpanan dalam akaun 2 yang banyak.

KWSP sebelum ni mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024.

Semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Manakala Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek dan simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

#PGIRM #KWSP #AKAUNFLEKSIBEL #AKAUN2

+ - reset