TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guna khidmat pesara tentera, polis jadi warden sepenuh masa di MRSM tangani buli - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 8 April – Bagi menangani isu buli secara menyeluruh di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencadangkan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan pesara tentera atau polis di semua institusi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dikemukakan dalam perbincangan bersama Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman sebagai langkah proaktif menangani budaya buli yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, warden yang dicadangkan akan dilantik secara kontrak dan perlu melalui proses saringan ketat termasuk temu duga dan penilaian menyeluruh.

“Antara yang dibincangkan ialah keperluan mewujudkan warden sepenuh masa di semua MRSM dengan pelantikan dibuat secara kontrak.

"Individu ini akan dipilih melalui temu duga dan dinilai secara holistik, terutamanya pesara tentera dan polis yang mempunyai latar belakang disiplin yang tinggi.

“Mereka bukan sahaja memantau disiplin, malah berperanan penting dalam membentuk sahsiah dan keperibadian pelajar asrama secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Cadangan ini menyusul selepas pengumuman penamatan pengajian serta-merta terhadap tujuh pelajar MRSM yang terlibat dalam insiden buli fizikal, termasuk lima yang didapati bersubahat.

Tindakan tegas itu diambil berdasarkan syor Jawatankuasa Disiplin MRSM susulan penyebaran sebuah video berdurasi 1 minit 31 saat yang tular di media sosial, memaparkan seorang pelajar lelaki dibuli secara fizikal oleh beberapa rakan asrama.

Mangsa dilihat dihempap dan disebat dengan tali pinggang dalam keadaan tertiarap di atas katil, mencetuskan kecaman orang ramai serta gesaan agar tindakan segera diambil.

Asyraf Wajdi sebelum ini menegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli di institusi pendidikannya dan bertekad memperkukuh sistem pemantauan dan disiplin pelajar. 

 

+ - reset