Berita Politik
PN umum calon anak jati rebut kerusi di PRK DUN Ayer Kuning

TAPAH 9 April - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 43, diumumkan sebagai calon rasmi gabungan itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadual berlangsung pada 26 April ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Majlis Pengumuman Calon PN di Padang Awam Tapah Road malam tadi.
“Kita telah buat kajian menyeluruh merangkumi semua lapisan masyarakat berhubung ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki rakyat Ayer Kuning.
Berdasarkan saringan dan kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama PAS dan pimpinan PN, kita sepakat memilih Abdul Muhaimin sebagai calon,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Abdul Muhaimin yang juga Yang Dipertua PAS Tapah merupakan anak jati Ayer Kuning.
Tuan Ibrahim yakin Muhaimin berpotensi untuk merampas kerusi tersebut yang kini disandang Barisan Nasional (BN).
Semalam, UMNO mengumumkan Setiausaha Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN bagi PRK berkenaan.
Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengesahkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS sebagai calon mereka bagi PRK kali ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. Allahyarham baru memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 12 April, pengundian awal pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April.
Berdasarkan biodata yang dikongsi kepada media, Abdul Muhaimin merupakan Pengetua Maahad Tahfiz Quran (MTQ) Ad-Din Ayer Kuning, Tapah sejak 2015.
Beliau memiliki latar pendidikan dalam bidang agama daripada Institut Al Fatah Al Islamy di Damsyik, Syria (2000–2006) serta Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS), Kedah (2011–2015).
Berita berkaitan
May 2, 2025, 9:56 am
BERSATU sedia bekerjasama dengan UMNO demi perjuangan asal - Hamzah
April 30, 2025, 3:58 pm
MCA perlu nilai diri sendiri, bukan salahkan BN - Puad
April 29, 2025, 12:29 pm
MCA digesa keluar Kerajaan Perpaduan, pertimbang sertai Bersatu
April 26, 2025, 10:49 pm
Kemenangan BN di Ayer Kuning tanda sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI
April 23, 2025, 4:00 pm
PRK Ayer Kuning: BERSIH kecam kerajaan salah guna jentera, dana awam
April 21, 2025, 2:38 pm
Tiada rombakan kabinet susulan pemilihan PKR – Anwar
April 20, 2025, 10:38 am
Afdlin Shauki menang, Nik Nazmi hilang Ketua Cabang PKR Setiawangsa
April 18, 2025, 5:32 pm
PRK Ayer Kuning: DAP usaha rapatkan hubungan dengan pengundi Melayu
April 16, 2025, 11:50 am
UMNO sanggah tuduhan PN, tegaskan kerjasama Dengan DAP demi titah Agong
April 16, 2025, 9:45 am