Berita Berita
Bekas kakitangan JKM dipenjara 468 tahun, denda RM180 juta atas kesalahan pengubahan wang haram, pecah amanah
KUCHING 9 April - Seorang bekas pembantu tadbir kewangan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dijatuhi hukuman penjara 468 tahun dan denda RM180 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jumlah lebih RM16 juta.
Hakim Musli Ab Hamid turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38, menjalani tambahan tiga bulan penjara dan tiga sebatan jika gagal membayar denda tersebut.
Bagi setiap satu daripada 36 pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM5 juta.
Sekiranya denda gagal dibayar, satu bulan penjara akan ditambah bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak.
Sementara itu, bagi tiga pertuduhan CBT, tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, juga berjalan serentak.
Dengan keputusan itu, Mohd Zairull akan menjalani hukuman penjara minimum selama 12 tahun.
Namun, sekiranya gagal membayar denda, tempoh penjaranya boleh meningkat sehingga 15 tahun.
Berdasarkan fakta kes, kesalahan pengubahan wang haram dilakukan antara tahun 2020 hingga 2022 melibatkan jumlah RM6,013,504.30, manakala kesalahan CBT pula membabitkan RM10,272,350.13 antara tahun 2019 dan 2021.
Perbuatan tersebut terbongkar apabila penyata gaji Mohd Zairull menunjukkan transaksi mencurigakan, termasuk lebih RM4 juta dikreditkan ke dalam akaunnya.
Tertuduh yang bertanggungjawab terhadap simulasi gaji jabatan itu di Sarawak, telah menghantar notis peletakan jawatan berkuat kuasa 31 Januari 2022, namun kemudian mempercepatkan notis tersebut dan meletakkan jawatan serta-merta pada 31 Disember 2021.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan. Tertuduh diwakili oleh peguam Christopher Bada.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:55 pm
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari 2026 - SPR
December 16, 2025, 1:19 pm
