Berita Politik
Ahli PKR tegur mufti, minta jangan politikkan isu penguatkuasaan

KUALA LUMPUR 11 April - Isu melibatkan seorang peniaga jalanan dikenali sebagai "Abang Belon" terus mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat apabila seorang ahli Parti Keadilan Nasional tampil menegur kenyataan seorang mufti yang didakwa tidak tepat dan berbaur politik.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook bertajuk “Belon Mangkaq: Respon Kepada Mufti Tersayang”, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menyatakan rasa hormat beliau terhadap institusi mufti namun menegaskan bahawa pandangan yang dikeluarkan harus disertai dengan penelitian dan keadilan, terutama jika ia menyentuh bidang di luar skop agama.
“Saya hormat mufti kita atas dasar ilmu dan autoriti agama yang dimiliki. Namun, mufti juga tidak maksum, dan apabila bercakap soal penguatkuasaan PBT atau isu semasa, kenyataan mereka perlu disertai dengan data dan konteks sebenar,” kata bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.
Beliau mengulas respons mufti tersebut yang dalam satu video ceramah menggunakan istilah “mangkaq” – satu kata loghat utara yang bermaksud “bangang” – ketika menjawab soalan berhubung insiden kekecohan antara Abang Belon dan anggota penguat kuasa DBKL.
Dr. Faiz mempersoalkan tindakan mufti itu yang turut mengaitkan insiden tersebut dengan sentimen politik, apabila menyebut tentang “orang yang lupa masa dia jadi pembangkang”.
“Apakah relevan kaitan politik dengan isu penguatkuasaan peniaga haram? Adakah mufti melihat kes ini dalam kerangka pembangkang versus kerajaan?” soalnya.
Menurut beliau, dakwaan mufti bahawa penguat kuasa DBKL “ramai-ramai melompat naik atas” suspek juga adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan fitnah terhadap anggota terbabit. Berdasarkan rakaman video kejadian, jelas hanya tiga individu terlibat secara langsung dalam kekecohan tersebut.
Tambahnya lagi, tindakan yang dilihat seperti “kunci leher” ke atas Abang Belon oleh seorang anggota berpakaian preman dikenali sebagai Sarjan Anuar turut sedang disiasat polis dan belum diputuskan secara rasmi.
“Kecederaan yang dialami Abang Belon juga masih dalam siasatan. Kita perlu tunggu laporan perubatan penuh dari Hospital Serdang dan biar mahkamah tentukan berdasarkan bukti,” jelas beliau.
Dr. Faiz turut menolak pandangan mufti yang mencadangkan agar pihak berkuasa “ambil gambar dan kutip suspek di rumah”. Katanya, itu bukan SOP penguat kuasa PBT yang bertugas menghalang peniaga haram dari terus beroperasi tanpa lesen, sekali gus menjejaskan peniaga berlesen yang mematuhi peraturan.
Mengakhiri kenyataannya, beliau mengingatkan agar tokoh agama sentiasa berhati-hati dalam membuat kenyataan awam agar tidak terikut emosi atau sentimen media sosial yang boleh mencetuskan kekeliruan, apatah lagi jika dikaitkan dengan politik.
“Kami para penyokong kerajaan bukan musuh Tuan Mufti. Kami cuma mohon agar Tuan berlaku adil dalam memberi pandangan,” tulis beliau.
Setakat ini, pihak mufti belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan tersebut. - Media Telus
Berita berkaitan
May 2, 2025, 9:56 am
BERSATU sedia bekerjasama dengan UMNO demi perjuangan asal - Hamzah
April 30, 2025, 3:58 pm
MCA perlu nilai diri sendiri, bukan salahkan BN - Puad
April 29, 2025, 12:29 pm
MCA digesa keluar Kerajaan Perpaduan, pertimbang sertai Bersatu
April 26, 2025, 10:49 pm
Kemenangan BN di Ayer Kuning tanda sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI
April 23, 2025, 4:00 pm
PRK Ayer Kuning: BERSIH kecam kerajaan salah guna jentera, dana awam
April 21, 2025, 2:38 pm
Tiada rombakan kabinet susulan pemilihan PKR – Anwar
April 20, 2025, 10:38 am
Afdlin Shauki menang, Nik Nazmi hilang Ketua Cabang PKR Setiawangsa
April 18, 2025, 5:32 pm
PRK Ayer Kuning: DAP usaha rapatkan hubungan dengan pengundi Melayu
April 16, 2025, 11:50 am
UMNO sanggah tuduhan PN, tegaskan kerjasama Dengan DAP demi titah Agong
April 16, 2025, 9:45 am