Berita Politik
'Ada masa lagi untuk istikarah' - Saifuddin belum putuskan tanding Timbalan Presiden PKR

RANTAU PANJANG 5 Mei - Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, belum membuat keputusan muktamad sama ada akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang, dan menyatakan pengumuman hanya akan dibuat pada saat akhir.
Beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan panjang dengan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli, serta beberapa kali bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha mempertimbangkan keputusan tersebut.
Menurutnya, beliau masih mempunyai masa untuk membuat pertimbangan kerana tempoh pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 telah dianjakkan ke minggu hadapan.
"Saya masih ada masa untuk istikharah. Sebelum ini, saya sudah mengadakan perbincangan selama empat jam dengan Datuk Seri Rafizi Ramli, selain berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa kali.
"Pada masa sama, saya turut mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan perbincangan dengan (pihak parti peringkat) negeri serta cabang.
"Apa yang saya boleh katakan ialah proses perbincangan dan pertemuan itu sudah selesai.
"Saya orang lama dan merasakan lebih banyak kalah daripada menang. Sebelum satu keputusan besar dibuat, saya bukan memikirkan soal menang atau kalah dalam parti, sebaliknya mahu melihat proses pemilihan berakhir dengan parti terus kuat dan mantap serta mampu menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
"Perkara ini yang lebih menjadi keutamaan kepada saya. Sekarang, kita ada 31 kerusi dan mahu menambah lagi bilangan kerusi untuk memantapkan PH," katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta pangkalan haram, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan pencalonan untuk Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat ditangguhkan kepada 8 hingga 9 Mei ini.
Menurut notis pemakluman penangguhan pemilihan yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pencalonan akan bermula jam 12 tengah hari 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei ini.
Ditanya sama ada solat istikharah yang dilakukan sebelum ini memberi petunjuk positif untuk bertanding, Saifuddin Nasution bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Tunggulah, saya akan umumkan nanti... masih ada masa," katanya.
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm