TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Rafizi sedia berundur dari kabinet jika kalah jawatan Timbalan Presiden PKR

By
|
Kongsi
image

SERI KEMBANGAN 11 Mei - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

Menurut beliau, sekiranya tidak lagi memegang jawatan nombor dua dalam parti, beliau tetap akan meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan dan bersedia untuk lebih lantang bersuara tanpa terikat dengan beban tanggungjawab seorang menteri.

“Saya sudah bercakap dengan rakan-rakan dalam kerajaan termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional. Saya beri jaminan bahawa pertandingan ini tidak akan mengganggu kestabilan pentadbiran. Tiada kekacauan, tiada ancaman,” katanya ketika muncul dalam sesi podcast Yang Bakar Menteri, Yang Berhenti Menteri? yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya, hari ini.

Rafizi menambah bahawa jika tidak lagi berada dalam Kabinet, beliau akan dapat memberi tumpuan penuh terhadap tugasnya sebagai Ahli Parlimen tanpa kekangan eksekutif.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, sebelum ini telah mengesahkan pencalonannya untuk mencabar Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR. Pertembungan ini dijangka menjadi tumpuan utama dalam pemilihan parti kali ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah sama ada menang atau kalah kerana tumpuan utamanya kini adalah untuk memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Apa pun keputusannya, peranan yang dipegang sekarang lebih penting. Kalau saya tidak lagi jadi menteri, saya akan ada lebih banyak masa untuk memberi fokus kepada isu-isu yang penting bagi rakyat,” katanya. - Media Telus

+ - reset