Berita Politik
Zahid seru ahli UMNO bangkit, perbaharui semangat juang sempena ulang tahun ke-79

KUALA LUMPUR 11 Mei - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh ahli dan penyokong parti, khususnya generasi muda, agar bangkit memperbaharui tekad dan semangat perjuangan demi masa depan parti dan negara.
Dalam ucapannya sempena sambutan ulang tahun ke-79 UMNO, Zahid menekankan kepentingan mempertahankan warisan serta mempersiapkan UMNO untuk terus memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif dan adil.
“79 tahun bukanlah usia yang kecil. Ia lambang kematangan dan kekuatan akar perjuangan. UMNO telah melahirkan generasi pemimpin, membina institusi, menegakkan keadilan sosial dan memberi harapan kepada rakyat di kota mahupun desa,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengimbas perjalanan panjang perjuangan UMNO sejak ditubuhkan pada 1946, yang menurutnya lahir daripada semangat kebangsaan dan keberanian anak watan menolak penjajahan serta menuntut kemerdekaan.
“UMNO adalah tiang seri kepada pembentukan negara bangsa Malaysia. Walaupun pernah berdepan perpecahan, serangan persepsi, politik fitnah dan gelombang perubahan, UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya,” ujar beliau.
Kini, jelasnya, UMNO kembali memainkan peranan penting sebagai tunjang kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, sambil memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif untuk seluruh rakyat.
“Insya-Allah, dengan kesatuan dan keberanian, kita akan terus membawa UMNO ke abad yang kedua sebagai parti yang membina, bukan membinasakan,” tegas beliau sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli parti yang terus setia mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air. - Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm