Berita Politik
Presiden Gerakan desak Rafizi ambil cuti jika gagal fokus pada tugas Menteri

KUALA LUMPUR 13 Mei - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar mempertimbangkan untuk mengambil cuti daripada Kabinet sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap tanggungjawab kementeriannya.
Menurut Dominic, Rafizi dilihat lebih memberi keutamaan kepada urusan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), berbanding menangani isu-isu ekonomi yang semakin mendesak rakyat ketika ini.
“Negara ini berpaksikan rakyat dan kerajaan wujud demi rakyat. Maka, tugas sebagai menteri tidak seharusnya diabai semata-mata demi perebutan jawatan dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan pencapaian Rafizi sejak menyandang jawatan Menteri Ekonomi, sambil menyatakan bahawa keberkesanan pelaksanaan dasar kementerian tidak begitu dirasai oleh rakyat.
Pertikai Keberkesanan PADU dan Isu Definisi T15
Dalam kenyataan sama, Dominic turut membangkitkan beberapa isu yang menurutnya mencerminkan kelemahan prestasi kementerian yang diterajui Rafizi. Antara yang disentuh ialah pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) serta kelewatan dalam mengumumkan definisi kumpulan T15, iaitu kategori pendapatan yang menjadi asas penting dalam penyaluran subsidi bersasar.
“Rafizi janji untuk umum definisi T15 dalam masa sebulan pada Oktober tahun lalu, kemudian tangguh ke sesi pertama Parlimen 2025. Kini sudah pertengahan Mei, masih tiada pengumuman. Jika asas penting seperti ini masih belum jelas, maka segala bentuk penarikan subsidi wajar ditangguhkan,” tegas beliau.
Dominic juga menegur ketiadaan Rafizi dalam isu cukai balas oleh Amerika Syarikat baru-baru ini, yang menurutnya lebih banyak ditangani oleh Menteri Kewangan II dan Menteri MITI.
“Hebat Bercakap, Lemah Pelaksanaan”
Mengulas lebih lanjut, Dominic berkata bahawa Rafizi yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai tokoh reformasi kini dilihat gagal menterjemahkan idealisme tersebut dalam bentuk pentadbiran yang berkesan.
“Jika ada kesedaran diri, Rafizi patut serahkan jawatan kepada individu lebih berwibawa. Bukan sekadar terus memegang jawatan tetapi gagal menunaikan amanah rakyat,” tambahnya. - Media Telus
Berita berkaitan
June 4, 2025, 10:47 pm
Tun M pelawa ahli UMNO sertai parti Melayu baharu
June 3, 2025, 11:30 am
Anwar berhak pilih kabinet, tetapi cadangan dari mana-mana pihak tidak salah – Ahmad Maslan
June 3, 2025, 11:09 am
Pemuda UMNO Selangor kecam tindakan Tengku Zafrul keluar parti
June 2, 2025, 4:42 pm
Kenyataan pemimpin DAP goyah perpaduan – Nurulhidayah
June 2, 2025, 1:22 pm
Hormati keputusan Tengku Zafrul, jangan desak letak jawatan menteri – Rizwan Shah
June 1, 2025, 10:42 am
BN sambut ulang tahun ke-51, kekal utuh dalam arus perubahan
June 1, 2025, 9:22 am
Cleopatra sertai PAS demi masa depan anak-anak
June 1, 2025, 8:43 am
Sertai PKR adalah pilihan peribadi, bukan paksaan - Tengku Zafrul
May 31, 2025, 12:21 pm